
PEKEBUN BERANG KELAPA SAWIT DICURI, BERTINDAK BAKAR LORI
Gara-gara buah kelapa sawit dicuri oleh empat lelaki, dua pekebun bertindak membakar sebuah lori dengan muatan kelapa sawit di Jalan Parit 5, Sungai Limau, Simpang Renggam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut disedari berlaku pada jam 8.30 pagi apabila penyelia ladang masuk ke kawasan ladang dan menemui kesan buah kelapa sawit sudah dipotong.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Renggam telah membuat rondaan dan ternampak empat lelaki sedang memunggah buah kelapa sawit dari lori yang terbakar di ladang itu.

“Menyedari kehadiran pihak polis, suspek melarikan diri. Seorang daripadanya berjaya ditangkap dan hasil soal siasat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang berjaya menahan tiga lagi suspek,” katanya.
Semua suspek mengaku mencuri buah kelapa sawit dari ladang PPSB Simpang Renggam dan semakan ke atas lori berkenaan mendapati milik syarikat swasta yang didaftarkan di Johor Bahru.
Tambahnya, semua suspek bekerja sebagai buruh masing-masing berusia 30-an, dengan tiga daripadanya mempunyai 21 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
“Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine, sementara kerugian dianggarkan RM300 dan polis juga merampas lori serta buah sawit berkenaan.”
Dalam pada itu, menurut beliau, dua pekebun berusia 40 dan 50-an yang membakar lori muatan sawit tersebut turut ditahan.
“Mereka bertindak membakar lori berkenaan kerana marah buah sawit dicuri. Kedua-dua pekebun itu mengakui berada di tempat kejadian semasa kejadian berlaku,” jelasnya lagi.
Semua enam suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 16 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – Sinar Harian




