BuletinMotosikal

LOTUS C-01 – SUPERBIKE JELMAAN KERETA FORMULA 1

Lotus C-01 merupakan sebuah motosikal konsep yang diperkenalkan kepada umum sekitar 2014. Walaupun menggunakan nama Lotus, ia sebenarnya bukanlah keluaran syarikat Lotus tetapi dihasilkan oleh Kodewa tetapi dengan kebenaran daripada Kumpulan Lotus untuk menggunakan nama mereka.

Kodewa merupakan sebuah syarikat kejuruteraan sukan motor Jerman dengan bantuan Holzer Group. Cuma 100 buah sahaja motosikal ini dihasilkan dan pengeluarannya juga telah dihentikan menjadikannya hasil karya yang cukup bernilai dan menjadi buruan di majlis lelongan seluruh dunia.

Motosikal aneh ini direka oleh Daniel Simon, seorang pereka kenderaan fiksyen sains terkenal. Antara kenderaan konsep yang dihasilkan beliau termasuklah Lightcycles dari filem Tron dan Bubbleship dari filem Oblivion. Sebelum memulakan karier sebagai pereka kenderaan sains fiksyen, Simon merupakan seorang pereka senior dalam syarikat Volkswagen dan antara mereka yang bertanggungjawab dalam menaikkan semula jenama Bugatti.

Lotus C-01 menggunakan cesi monocoque yang dihasilkan daripada gentian karbon dan diberi gelaran motosikal retro futuristik. Ia juga dikatakan cantuman antara realiti dan fantasi. Para pengkritik menyifatkan motosikal ini sebagai sebuah power cruiser sama seperti Ducati Diavel.

Dilihat sekali imbas pun kita dapat menyimpulkan yang kekuatan motosikal ini ialah di laluan lurus dan bukannya di laluan berselekoh. Rekaan luarannya mengambil ilham daripada kereta lumba Formula 1 Lotus 49 yang popular sekitar tahun 60-an.

Selain penggunaan casis monocoque, Lotus C-01 ini juga menggunakan keluli gred penerbangan dan juga titanium. Suspensi bahagian hadapan disokong oleh sepasang fork terbalik jenama Sachs dan bahagian belakang pula menggunakan sepasang penyerap hentak boleh laras Ohlins.

Kuasa henti motosikal ini disokong dengan cakera Brembo bersaiz 320mm di hadapan. Konfigurasi rimnya pula agak pelik kerana bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang. Ini kerana ia dirancang khusus supaya menyerupai kereta lumba Lotus 49. Rim tersebut juga dihasilkan daripada gentian karbon dan dihasilkan di Afrika Selatan oleh syarikat BST.

BACA: KICKBOXER – MOTOSIKAL DENGAN ENJIN SUBARU IMPREZA WRX

Motosikal ini dikuasakan dengan enjin v-twin Rotax 1195-cc keluaran KTM yang mampu menjana 200bhp kuasa maksima. Kuasa itu kemudiannya disalurkan ke roda belakang dengan menggunakan kotak gear manual enam-kelajuan. Enjin yang sama juga digunakan oleh KTM untuk superbike mereka, RC8R.

Pada mula diperkenalkan, ia diberikan tanda harga USD130,000 dan kini harganya meningkat kepada USD370,000 – 450,000!Ini baru berbaloi beli simpan dalam bilik tidur. Satu unit motosikal ini dilelong pada tahun lepas di Amerika Syarikat dengan perbatuan cuma 2 batu sahaja (tak sampai pun 4 kilometer). Malah ia juga dikatakan tidak pernah ditunggang. Kenapa beli motor tak tau.

GALERI:

Google ads
Back to top button