
MAKTAB TENTERA DIRAJA MENANG TOYOTA ECO YOUTH EDISI 2022/2023. BAWA PULANG HADIAH RM20K
Toyota Eco Youth (TEY) edisi 2022/2023 telah pun berakhir dengan majlis penutup dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan UMW Toyota di Hotel Concorde, Shah Alam.
Bertemakan ‘Championing Mobility’ program TEY adalah antara usaha berterusan UMW Toyota Motor untuk memupuk kesedaran serta rasa tanggungjawab terhadap manusia dan planet dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Sebanyak 16 pasukan di seluruh negara mengambil bahagian dalam program itu untuk merebut hadiah wang tunai sehingga RM71,500. Lima buah sekolah terbaik berjaya menarik perhatian para juri di TEY 2022/2023.

Maktab Tentera Diraja (Mtd) memberi fokus kepada sistem heksabrick yang diperbuat daripada HDPE kitar semula. Plastik LDPE yang bertujuan mengurangkan/mencegah hakisan dan pergerakan tanah.
Kolej Islam Sultan Alam Shah (Sinergi Pasukan) pula menyediakan beg boleh kembang (Expand-a-bag) yang dibuat daripada plastik dan fabrik terpakai untuk mewujudkan komuniti lebih mampan.
SMK Kemumin, Kota Bharu menghasilkan tali pinggang yang diperbuat daripada pakaian terpakai. Manakala SMK Taman Bunga Raya 1 mencipta sistem yang berfungsi sebagai pencegahan awal kebakaran hutan. Ia juga mampu mengesan peningkatan suhu dan gas karbon dioksida.
SBP Integrasi Rawang tidak kurang hebatnya dengan insinerator automatik yang tidak akan mengeluarkan asap serta zarah udara berbahaya dan menukar produk terbakar menjadi baja.
Pasukan yang menang menerima wang tunai sebanyak RM20,000, diikuti RM15,000 untuk tempat kedua, sementara tempat ketiga mendapat wang tunai RM7,000.
Untuk tempat keempat dan kelima, masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000. ‘Most Supportive Teacher’ turut menerima ganjaran RM2,000 dan RM1,000 ditawarkan untuk tiga ejen terbaik. Manakala RM2,000 diberikan kepada Penglibatan Komuniti Terbaik.
Berucap pada majlis penutupan TEY edisi 2022/2023, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K, berkata “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua 16 pasukan atas kerja keras dan tahniah diucapkan kepada pemenang Toyota Eco Youth 2022/2023.”




