Artikel Pilihan

CONCORDE – PERMULAAN DAN PENGAKHIRAN PESAWAT PENUMPANG IKONIK

Concorde mungkin satu nama yang agak asing untuk generasi millennium dan TikTok. Kalau kenal pun mungkin sebab ada hotel dengan nama sama selain drama popular Pok Ya Cong Codei. Concorde sebenarnya ialah pesawat penumpang paling ikonik dengan keajaiban teknologi dan menjadi lambang kekayaan penumpang yang mampu menaikinya. Kalau mampu naik penerbangan tambang murah pun dah tersengih sampai ke telinga sambil buat video, bayangkan pengalaman menaiki Concorde dengan tambang yang mengalahkan harga “demo tok kenal bare”.

Concorde beroperasi dari tahun 1976 hingga 2003 dan mampu membawa sekitar 92 ke 108 penumpang satu penerbangan dengan laju maksima dua kali ganda kelajuan bunyi. Kelajuan bunyi okey, bukan kelajuan cahaya.

Penerbangan dari Paris ke New York mengambil masa sekitar 3 jam setengah menjadikan perjalanan satu jam lebih singkat berbanding pesawat komersil lain. Rekod paling laju pernah dicatatkan Concorde untuk penerbangan New York ke Kokdiang, maaf New York ke London ialah dua jam 52 minit dan 59 saat.

Walaupun pesawat supersonik ini sudah bersara wajib sejak 2003 akibat kos operasi yang melambung tinggi, ia kekal dalam lipatan sejarah penerbangan sebagai pesawat penumpang komersil paling ikonik.

Concorde sebenarnya dihasilkan secara JV antara British Aircraft Corp dan Aerospatiale dari Perancis. Gabungan jurutera dari Britain dan Perancis berjaya menghasilkan pesawat ini seawal tahun 1969. Nama Concord ataupun Concorde dalam bahasa Inggeris dan Perancis bermaksud persetujuan ataupun keharmonian. Alah macam korang mula-mula kahwin la, masa tu kentut pasangan pun bau wangi kan?

Penerbangan komersil pertama ialah pada 21 Januari 1976. British Airways dan Air France memulakan penerbangan Concorde pada hari yang sama tetapi pada laluan yang berbeza. BA menerbangkan Concorde dari London ke Bahrain manakala Air France pula dari Paris ke Rio de Janeiro. Setahun kemudian barulah Concorde memulakan penerbangan dari London ke New York.

Berapa laju sebenarnya Concorde ni? Ia mampu terbang dua kali ganda mengatasi kelajuan bunyi ataupun dengan bahasa mudahnya pada 2,179 km/j. Jadi kalau korang bawa Myvi lagi best dengan kelajuan 200 km/j, Concorde adalah 10 kali ganda lagi laju.

Kuasa Concorde ialah dari empat enjin dengan teknologi ‘reheat’ yang berfungsi menambah bahan bakar pada peringkat akhir pembakaran yang sekaligus memberikan kuasa ekstra sewaktu berlepas dan membantu ia memecut ke kelajuan supersonik.

Berbeza dari pesawat biasa yang korang naik masa tambang murah tu (jangan marah aaa), Concorde terbang pada ketinggian 60,000 kaki ataupun sekitar 17.7 kilometer dari muka bumi. Sebagai perbandingan Boeing 747 terbang pada ketinggian sekitar 44,000 kaki. Jauh beza tu. Punyalah tinggi Concorde ni terbang sehingga penumpang boleh lihat garisan ufuk bumi yang melengkung. Jadi betul la bumi ni berbentuk bulat kan?

Haba yang dijana pada kelajuan supersonik juga cukup tinggi sehinggakan pesawat ini memanjang antara 6 ke 10 inci sewaktu terbang. Malah setiap kali ia mendarat, badan pesawat masih terasa panas jika anda menyentuhnya semasa turun.

Harga tiket mahal tak?

Tak mahal sebenarnya bagi yang berkemampuan. Tiket penerbangan merentasi lautan Atlantik Concorde ialah sekitar RM50,000 sehala dengan tagline ‘Arrive Before you Leave’. Faham-faham sendiri la ya.

Fakta kelakar dari AS

Amerika Syarikat ni memang kelakar dari dulu. Pada tahun 1970, Senat AS pernah mengundi untuk menghalang Concorde dan mana-mana pesawat supersonik dari terbang ke ruang udara AS. Alasannya ialah kerana letusan sonik ataupun sonic boom dan pencemaran bunyi yang dihasilkan sewaktu Concorde tiba dan berlepas. Habis tu yang korang buat macam-macam jenis pesawat pejuang supersonik tu tak apa pulak. Orang lain punya semua tak heloq. Eh datang Malaysia la tengok jutaan motor cub supersonik bersepah malam minggu. Pigidah. Larangan itu kemudian ditarik balik pada tahun 1976 dan Corcorde dibenarkan beroperasi di AS.

Rupanya larangan tersebut ditarik balik oleh Supreme Court AS kerana Air Force One dikatakan menghasilkan pencemaran bunyi yang jauh lebih teruk sewaktu berlepas dan mendarat dari Concorde. Lawak betul la negara pakcik Sam ni.

Selama tempoh 31 tahun perkhidmatannya, cuma satu tragedi yang menimpa Concorde iaitu pada 25 Julai 2000. Sewaktu berlepas dari Paris, Concorde terkena cebisan titanium yang jatuh dari pesawat lain menyebabkan tayarnya terbakar sekaligus merebak ke bahagian enjin. Pesawat itu kemudiannya terhempas mengakibatkan semua penumpang dan anak kapal terkorban.

Kini tiada lagi pesawat sehebat Concorde, malah pesawat jumbo Boeing 747 dan Airbus A380 pun dah banyak yang dipencenkan. Memang trend kot sekarang semua nak kereta kompak sampai pesawat pun jadi kompak sekali. Jimat minyak katanya.

Kredit historyhit.com dan NST

Google ads
Back to top button