Artikel Pilihan

MARCELLO GANDINI, PEREKA LAMBORGHINI PALING IKONIK MENINGGAL DUNIA – CIAO SIGNORE

Pereka lejen terkenal Itali Marcello Gandini telah meninggal dunia. Demikian menurut laporan RaiNews, hub berita tempatan Itali. Gandini berusia 85 tahun dan merupakan pereka kereta-kereta ikonik dari Itali.

Gandini dikenali ramai kerana kejayaan beliau menghasilkan kereta-kereta bertaraf poster untuk Lamborghini. Antaranya termasuklah Miura, Countach dan Diablo. Bukan itu sahaja, beliau juga banyak menghasilkan kereta-kereta ikonik lain seperti Lancia Stratos, Bugatti EB110 dan Fiat X1/9.

Pereka kelahiran Turin, ini mula dikenali sewaktu bekerja dengan firma rekaan terkenal Itali ketika itu, Bertone dari pertengahan 60an sehinggalah 1980. Rekaan Gandini yang popular ketika itu ialah Alfa Romeo Montreal, Maserati Khamsin (bukan komisen okey), VW Polo original dan Ferrari 308 GT4.

Gandini kemudian berpisah dengan Bertone dan mengembangkan karier beliau secara bebas dengan syarikat lain seperti Citroen (BX) dan Renault di mana beliau mereka model ikonik Renault 5 Turbo.

Rekaan popular dari Gandini yang selebihnya termasuklah BMW 5-Series asal, Lamborghini Espada dan Cizeta-Moroder V16T (yang banyak lampu pop-up to).

Walaupun semakin berusia Gandini meneruskan usaha rekaan beliau. Beliau bekerjasama dengan TaTa Motors pada tahun 2017 untuk menghasilkan TaMo Racemo, sebuah kereta sports konsep yang telah dipamerkan di Geneva Motorshow.

Gandini turut menghasilkan rekaan-rekaan industry dan perabot. Baru-baru ini Gandini telah dianugerahkan ijazah kehormat dalam kejuruteraan mekanikal oleh Polytechnic Institute of Turin. Besar jasa Gandini ni pada dunia automotif ni tuan-tuan.

Google ads
Back to top button