
HYPERCAR BERTONE GB110 DIPERKENALKAN – BOLEH TAHAN WALAUPUN GUNA SAMPAH SEBAGAI BAHAN API
Setiap tahun pameran barangan mewah Top Marques Monaco menyaksikan pelbagai ciptaan mewah seperti bot, barang kemas dan semestinya kereta-kereta mahal. Tahun ini paling menarik perhatian ialah hypercar baru dari Bertone yang dinamakan GB110. Sebelum ini ia cuma wujud dalam lakaran render kini model sebenar dipertontonkan buat pertama kali.

Bertone ni bukan syarikat calang-calang tapi ia telah berkubur pada tahun 2014 dan selepas itu dihidupkan kembali oleh dua adik beradik. GB110 ini dihasilkan sempena meraikan ulangtahun Bertone ke 110.
Rekaan luaran GB110 ini agak menarik dan berbeza dari hypercar dan supercar di luar sana. Walaupun sebelum ini Bertone mengakui yang GB110 dibangunkan menggunakan chasis model sedia ada tapi mereka tidak menyatakan model apa.

Ada yang mengatakan mereka menggunakan chasis Lamborghini Huracan kerana GB110 turut menggunakan enjin V10 5.2 liter yang mampu menjana 1085 hp kuasa dan 1100 Nm tork dengan bantuan sepasang pengecas turbo.
Itu biasanya je bagi kami, paling menarik lagi ialah bila Bertone mendakwa yang GB110 merupakan hypercar pertama yang bakal dikuasakan sisa buangan plastic. Bergandingan dengan Select Fuel, syarikat ini telah mempatenkan teknologi untuk menukar sisa material polikarbonat menjadi bahan api baharu. Ooo ingat main sumbat sampah je tadi.
Bertone mendakwa GB110 mampu membuat pecutan 0-100 kmj dalam masa 2.79 saat. 0-200 kmj pula hanya 6.79 saat dan kelajuan tertingginya ialah sekitar 380 kmj. Kuasa disalirkan ke roda menerusi kotak gear tujuh kelajuan klac berganda.

Bahagian dalaman kelihatan agak minimalis tapi agresif. Sekali tengok macam susun atur dalaman C8 Corvette. Korang rasa macam mana? Nasib baik skrin infotainmentnya kecil sahaja. Bagi kami memang mengarutlah letak skrin besar-besar dalam hypercar ni. tak percaya tengok Bugatti Tourbillon baharu tu.
Hanya 33 unit bakal dihasilkan dan harganya pun belum didedahkan jadi abang tak tahu duit abang cukup ke tak untuk memilikinya. Kalau iku pengalaman sebelum ni memang tak pernah cukup pun.