KISAH SEBUAH ACURA NSX YANG DISUMPAH MENJADI LAMBORGHINI DIABLO GT
Apa yang perlu anda lakukan kalau nak pakai kereta mahal tapi tak mampu? Ubahsuai la kan. Macam tak biasa tengok Saga BLM jadi Impreza, Myvi jadi BMW, bas mini jadi food truck. Eh itu lain. Tapi yang ni spesial sikit, Acura NSX diubahsuai sampai jadi Lamborghini Diablo GT terus. Siapa yang pandai sangat buat kelakar ni?
Menariknya kereta ini sekarang ada dalam laman lelongan atas talian eBay dan individu yang bertanggunjawab menyumpah kereta ini sehingga bertukar rupa ialah Jose Canseco, bekas bintang baseball terkenal yang mungkin korang tak kenal sebab kita ni ramai yang pegang pemukul baseball pun tak pernah. Tapi mungkin juga korang kenal sebab dulu trend pakai baju baseball keluar jalan-jalan kat KL agak popular. Tak panas ke?
Kisahnya pada awal tahun 2000, Canseco telah membeli sebuah Acura NSX keluaran tahun 1999 walaupun hati beliau memang terpaut habis dengan Lamborghini Diablo GT tahun 1983. Mungkin sebab ngeri dengan kos yang perlu dibayar selain kos penyelenggaraan beliau memilih NSX.
Tapi mungkin juga beliau seorang yang kedekut. Kenapa? Sebab selama 17 tahun penglibatan beliau dalam sukan baseball, Canseco menjana pendapatan melebihi USD45 juta atau bersamaan dengan RM196 juta boh. Banyak tu. Harga Diablo kat sana masa tu baru sekitar USD300k.
Namun Canseco memilih untuk mendapatkan khidmat pakar ubahsuai untuk menukar NSX beliau kepada Diablo. Pelik betul selera orang banyak duit ni.
Walaupun keupayaan kedua-dua kereta jauh berbeza tapi keduanya berkongsi kedudukan enjin yang sama. Nampak macam casis dan komponen mekanikal dikekalkan bahagian luaran ditukar sepenuhnya menjadi Lamborghini Diablo. Enjin asal NSX dikekalkan dan mampu menghasilkan 290 hp kuasa bila diperah.
Jauh dari keupayaan sebenar Diablo dengan enjin V12 yang mampu menghasilkan 570 hp kuasa maksima. Okeylah kot untuk mamat ni dan juga founder-founder kosmetik timbang kilo di luar sana yang beli cuma sekadar untuk tayangan umum. Skil memandu sah-sah ke laut.
Dinyatakan dalam iklan yang kereta ini sangat unik dan pernah dimiliki oleh Jose Canseco dan akan membuatkan sesiapa sahaja memandang untuk kali kedua. Memang la orang pandang nampak macam Diablo tapi bila lalu bunyi macam Accord berlian imam surau kat kampung aku.
Ada juga netizen yang memberi komen perbuatan Canseco ini seolah-oleh menghina dua kereta dalam satu masa. Mau taknya, Diablo ni satu ketika dahulu adalah model flagship Lamborghini dan NSX ni memang dah sah-sah masterpiece terbaik Honda. Apa Canseco ni pernah kena hentam dengan bola baseball ke dulu di kepala?