
BRABUS 1400 R BAKAL DIPERKENALKAN – 190HP, 145NM
Kebelakangan ini, nama yang sinonim dengan dunia modifikasi empat roda, Brabus, sudah mula menjinakkan diri dengan dunia dua roda selepas memperkenalkan kolaborasi sulung dengan KTM pada 2022 menerusi Brabus 1300 R.
Untuk rekod, Brabus mengguna pakai KTM 1290 Super Duke R EVo sebagai asas pembangunan 1300 R terutamanya bahagian casis dan enjin.

Siapa sangka, motosikal edisi terhad itu mempunyai permintaan tinggi sehinggakan kesemua 154 unit habis terjual dalam hanya dua minit.
Brabus kemudiannya memperkenalkan versi kedua,1300 R Edition 23 pada 2023 dengan hanya 290 unit dibangunkan dan disusuli dengan versi ketiga menerusi Masterpiece Edition yang menyaksikan hanya 50 unit dihasilkan.

Terbaru, Brabus telah pun memfailkan tanda dagangan baharu bagi Brabus 1400 R sekaligus mengesahkan kolaborasi berterusan dengan KTM.
Bagaimanapun, KTM telah pun menghentikan pengeluaran 1290 Super Duke dan menggantikannya dengan 1390 Super Duke pada 2024. Senario itu sekaligus memberi ruang pada Brabus untuk memperkenalkan 1400 R mengguna pakai enjin LC8 V-Twin 1,350cc terbaru.

Untuk rekod, unit baharu itu kini menawarkan 190hp pada 10,000rpm dan 145Nm pada 8,000rpm berbanding 177hp sebelum ini.
Menariknya, Brabus telah memfailkan tiga tanda dagangan dengan masing-masing diberi nama Brabus 1400 R Rocket, Brabus 1400 R Signature dan Brabus 1400 Tailor Made.









