
MAZDA 3 TURBO, BUKAN MAZDA 3 MPS. TAPI POWERRRRRR.
Kami telah memandu uji Mazda 3 Sedan tahun lepas, ia sebuah sedan yang kacak, moden dan datang dengan enjin 2000cc 162 kuasa kuda. Tapi macam biasa la, orang akan bandingkan dengan Civic yang datang dengan enjin 1500cc turbo namun menghasilkan 171 kuasa kuda. Enjin lebih lecil, tapi kuasa lebih besar.
Bagi bakal pembeli yang merasakan kuasa adalah penentu, Civic adalah pemenang no 1. Numero Uno!!!. Bagi penulis yang telah memandu uji Mazda 3, kuasa yang dihasilkan adalah cukup dinamik. Boleh la lari sekejap dari Toyota sukan yang mengejar penulis. Menyedari permintaan terhadap kuasa kuda yang lebih tinggi, Mazda mengambil keputusan untuk memperkenalkan Mazda 3 turbo. Bukan Mazda3 MPS ya tuan-tuan….
Mari kita intai apa yang ada pada Mazda 3 turbo ini.
1. Walaupun sudah puas menggodek, namun kami belum menjumpai apa-apa perubahan teknikal pada cesi Mazda 3 turbo. Ia akan mengekalkan suspensi topang McPherson di depan, torsion beam di belakang, brek cakera di semua penjuru, dan stering bantuan kuasa elektrik di bahagian depan.

2. Enjin Mazda 3 Turbo akan menggunakan unit yang sama digunakan pada CX-9 dan juga CX-5 dengan sesaran 2500cc serta sistem turbo dinamik rekaan Mazda. Anda boleh baca berkenaan maklumat teknikal enjin ini di SINI. Mazda memberikan maklumat awal bahawa enjin ini mampu menjana sekitar 250 kuasa kuda dengan petrol premium dan 228 kuasa kuda dengan petrol biasa.
3. Tapi kuasa ini masih lagi kurang jika dibandingkan dengan Civic Type R yang datang dengan enjin K20C 2000cc turbo yang menghasilkan 306 kuasa kuda. Geng Honda masih boleh jalan berkepak, jangan risau. Namun enjin Mazda 3 Turbo ini menghasilkan 420Nm tork, 20Nm lebih tinggi berbanding dengan Civic Type R.
4. Tiada transmisi manual disediakan bagi versi Turbo ini. Ia hanya akan datang dengan transimi 6 kelajuan automatik dan digandingkan dengan sistem pacuan semua roda AWD bagi memberikan cengkaman ibarat anak kucing mencakar seluar jeans anda ketika selekoh.

5. Dari segi luaran, tiada aksesori tambahan yang dipasang bagi membezakan Mazda 3 dengan Mazda 3 Turbo. Kecuali emblem Turbo dan lubang ekzos yang lebih besar
6. Antara peralatan tambahan yang dipasang pada Mazda 3 Turbo ialah roda stering dengan pemanas sertacermin pandang belakang tanpa bingkai serta fungsi auto-dimming. Satu varian Premium Plus akan diperkenalkan dengan ciri spoiler hitam, bodykit, kamera 360 darjah, sistem navigasi dan balutan kulit untuk kabin
Ya ciri ini untuk versi luar negara, setakat ini kami masih tidak pasti apakah ciri-ciri baru yang akan diperkenalkan oleh Mazda Malaysia
7. Untuk pasaran Amerika (ya Mazda paling banyak terjual di Amerika) Mazda 3 Turbo akan datang dengan rim aloi 18 inci, sistem pembesar suara premium BOSE 12 unit, sistem i-CONNECT 8.8 inci, Android Auto, Apple Car Play, cermin suria serta Mazda Radar Cruise Control.

8. Dengan tambahan kuasa ini kami menjangkakan pecutan 0-100 mampu dicapai dalam masa kurang 8.1 saat (masa yang diambil oleh Mazda 3 Sedan AWD).
9. Sebagai perbandingan penggunaan petrol, CX-9 yang seberat 1931 kg menggunakan 12.5km/liter pada halaju 110km/j. Kami menjangkakan Mazda 3 Turbo mampu memberikan angka yang jauh lebih baik berbanding dengan CX-9 dengan enjin 2500cc Turbo yang sama.