Pandu Uji

PANDU UJI MAZDA 3: KALAU DUIT BOLEH DIPETIK DARI POKOK

Pada pendapat saya, resipi sebuah kereta yang sedap ialah enjin yang bagus, transmisi yang cekap dan pengendalian yang baik. Rupa paras yang menawan tu sebenarnya bonus. Tapi mata manusia memproses 6/10 maklumat berdasarkan apa yg dilihat. Kalau kereta itu menarik, maka ia memberi harapan bahawa kereta itu sedap dipandu. Bersama dengan kami kali ini ialah Mazda 3 serba baru dengan rupa paras yang segak dan sedap dipandu.

Masih mengekalkan rekaan Kodo, Mazda 3 yang berada dalam segmen C ini membawa rekaan kodo pada tahap yang lebih tinggi. Mazda mangekalkan ciri ciri klasik kereta sport iaitu ruang bonet yang panjang dan sasa, bumbung yang rendah dan ruang dalaman berwarna hitam. Jika dilihat dari sisi, Mazda3 ini nampak klasik dan sport mengingatkan kita zaman kegemilangan kereta tahun 60an

Rekaan tepi Mazda ini boleh dipuji dan pasukan Mazda mengambil masa selama 2 tahun dalam menghasilkannya. Konsep utama yang diambil ialah dengan bermain dengan cahaya dan bayang – bayang. Kalau 20 tahun kajian, boleh jadi gila bayang. Jadi refleksi cahaya yang timbul akan sentiasa wujud secara infiniti. Mazda mengangkat rekaan Mazda3 menjadi satu karya seni atau fine art.

Bahagian depan Mazda kalau kita tengok secara individu akan nampak pelik sikit, macam mulut ikan keli atau jerung. Kalau dilihat kereta ini secara keseluruhan pada mulanya nampak bosan dan kosong. Namun selepas beberapa hari, boleh nampak rekaan Mazda3 ini lebih matang, anggun, timeless dan Mat Saleh kata everlasting. Gabungan refleksi cahaya, bayang dan rekaan kereta sport klasik nampak anggun

Rekaan Dalaman

Jurutera Mazda memberi idea the less is more. Mereka hapuskan semua visual noise yang tidak perlu. Paparan meter dan panel instrumen menggunakan gabungan LED putih dengan latar belakang hitam. Skrin Mazda Connect dikecilkan tapi diletakkan pada sudut yg lebih baik. Roda steering dibuat ringkas tapi sedap digenggam. Papan pemuka menggunakan kulit berwarna hitam dengan jahitan merah dan diselitkan dengan krom yang diletakkan pada tempat strategik bagi menghalang cahaya matahari memantul dalam mata

Rekaan unit kawalan penyaman udara dibuat ringkas namun semua butang diberikan rasa yang sedap bila ditekan. Unit kawalan Mazda Connect diletakkan dekat tombol gear menggunakan plastik kualiti tinggi, sedap sungguh bila dipegang. Sama juga dengan tombol gear yang menggunakan plastik dan krom memang ada rasa mahal bila disentuh. Papan pemuka dibalut dengan kulit bersama jahitan benang merah dan digabung dengan plastik lembut.

Meter depan menggabungkan teknologi digital dan analog dalam 3 bulatan krom. Sekali imbas nampak meter halaju macam menggunakan meter analog, tapi ia sebenarnya unit digital untuk memberi pelbagai maklumat. Meter RPM pula menggunakan jarum mekanikal yang sebenar memberikan sentuhan klasik sport pada rekaan. Bacaan penggunaan petrol akan dipaparkan setiap masa mengingatkan penulis untuk memandu cermat. Head Up Display pun ada disediakan bagi memberikan pemandu fokus pemanduan

Unit Mazda Connect menawarkan sambungan Apple Car Play dan Android Auto sebagai ciri standard. Sebagai kereta yang fokus pada pemanduan, sesetengah fungsi akan dimatikan semasa memandu. Jadi tak payah gatal tangan nak usik semua tetapan masa memandu. Walaupun tanpa pembesar suara jenama Bose, kualiti bunyi yang dihasilkan oleh 8 pembesar suara masih boleh dipuji.

Kerusi untuk pemandu dibuat dengan rekaan semi – bucket yang dibalut dengan kulit dan dijahit dengan benang merah. Bagi model ini, hanya pemandu sahaja yang mendapat kerusi bantuan kuasa elektrik dengan 2 tetapan memori. Bahagian bawah belakang boleh diubahsuai mengikut keselesaan pemandu. Mazda banyak menghabiskan masa membuat kajian berkenaan postur pemanduan bermula dari kedudukan pinggang, siku, lutut, buku lali dan bahu.

Dengan kedudukan yang sedikit tegak, kusyen ini memegang bahagian atas badan dengan kemas dan erat. Paling penting ia akan menghantar maklumat mekanikal kepada saraf tunjang anda bagaimana kereta ini beraksi di selekoh melalui pinggang, peha dan belakang badan. Apa yang anda buat pada stering, pedal brek dan pedal minyak akan menghasilkan sensasi pemanduan dan komunikasi 2 hala.

Untuk keselesaan Mazda3 dibekalkan dengan satu punca kuasa 12V, satu sambungan USB, satu sambungan pengecas USB, penyaman udara belakang, cermin suria, perehat tangan depan dan belakang, ruang simpanan bahagian depan, lampu depan LED yang terang, sistem pengelap cermin automatik dan penyaman udara 2 zon suhu.

Unit Trenkuasa

Sayang sekali kita tidak menerima enjin SkyActiv X 1800cc serba baru, tapi enjin SkyActi G dengan kod PE-VPS 2000cc. Enjin ini ditala dengan nisbah mampatan 14:1 (13:1 bagi Malaysia), suntikan terus bahan api, dan Dual Sequential Valve Timing ( baca dual VVTi) menghasilkan 162 kuasa kuda dan 213Nm tork. Bagi menjimatkan petrol ia dilengkapkan dengan fungsi i-Stop.

Untuk maklumat lanjut mengenai teknikal enjin SkyActiv G, anda boleh klik di SINI. Untuk maklumat lanjut berkenaan enjin SkyActiv X, anda boleh baca di SINI

Transmisi 6 kelajuan automatik SkyActiv Drive terus digunakan untuk model ini. Pemandu boleh memilih untuk mengawal ratio 6 gear melalui pilihan manual di tombol gear ataupun melalui kawalan gear di roda stering. Namun pada kebanyakan masa, penulis hanya membiarkan unit transmisi ini bekerja dengan sendiri.

Pengalaman Pemanduan

Tagline Mazda “celebrate driving” memang tepat untuk Mazda 3. Dari luar ia tidak menggambarkan kereta ini adalah sebuah model yang sporti. Hanya 2 ekzos di bahagian belakang bumper yang memberi sedikit petunjuk kemampuan sebenar Mazda3. Ergonomik kusyen pemandu ini memang terbaik. Walaupun nampak sedikit tegak, kusyen sedikit keras dan rekaan semi bucket, ia akan memaksa pemandu duduk dengan postur yang betul. Setelah memandu selama 4 jam tanpa henti, barulah terasa lenguh sedikit di bahu. Maklumlah penulis berdada bidang dan tangan berkepak.

Penglihatan depan telah diperbaiki dengan menghapuskan titik buta pada tiang A. Unit Head Up Display sangat membantu agar mata tidak penat mengalihkan mata dari jalan ke paparan meter. Pencahayaan HUD ini juga amat baik, terang pada waktu siang dan lembut pada waktu malam. Kedudukan pedal minyak dan brek terasa semulajadi. Tetapan pedal brek dibuat agar respon brek menjadi sensitif

Respon pedal bergantung pada kaki pemandu. Kalau ditekan cermat, enjin berbunyi amat lembut dan jarang sekali meter RPM melebihi 2000 RPM. Penukaran gear terasa lembut dan sempurna. Namun jangan ingat enjin kereta ini lemau. Penulis menekan pedal minyak rapat ke lantai dan enjin mula mengaum ganas macam harimau terlepas kandang. Bunyi mekanikal enjin dan deruman gas ekzos ketika melalui ekzos berkembar menghasilkan runut bunyi klasik yang bergema memenuhi ruang kabin. Tutup saja sistem audio dan nikmati bunyi mekanikal tadi, memang layan habis.

Transmisi SkyActiv Drive pun berubah watak menjadi sporti sebaik sahaja enjin diperah sampai 6000RPM. Sistem klac (ya anda tak salah baca) yang ada dalam torque converter akan bertindak pantas mengunci kedudukan gear. Pada RPM yang tinggi, aksi klac dan penukaran gear sengaja dibuat kasar menjadikan kereta sedikit terhenjut memberikan sensasi kepada penulis. Sekiranya anda menggunakan pedal penukar gear di stering, gear tidak akan bertukar walaupun RPM hampir mencecah 7000.

Jadi tukar la gear sendiri, nikmati ngauman enjin, deruan ekzos, serta henjutan aksi daripada sistem transmisi menjadikan pemanduan Mazda3 ibarat sebuah kereta manual. Transmisi in juga bijak mengesan kehendak anda jika anda perlu memotong kereta di depan, ia bagaikan menghenjut kereta ke depan walaupun RPM hanya mencecah 3000 bagaikan tak sabar-sabar untuk memecut

Ya pecutannya tidaklah sekuat enjin turbo yang dipasang dengan transmisi klac berkembar, namun ia memberikan sensasi dan memainkan emosi pemandu. Hantaran kuasa enjin kepada transmisi amat lancar dan menyenangkan pemandu mengawal kereta di selekoh tajam dengan hanya kwalan pedal minyak tanpa membrek pada kelajuan 120km/h.

Pada hemat penulis, Mazda menghasilkan cesi dan kabin yang sedikit kecil berbanding pesaingnya yang lain bagi meningkatkan ketegaran cesi. Mungkin juga kimpalan dan spot welding yang lebih banyak digunakan. Komunikasi antara stering input dan pergerakan cesi terasa sangat pantas. Cubaan untuk memotong lori dari arah luar dan terus memasuki selekoh pada halaju tinggi dibuat dengan bersahaja. Komunikasi antara tayar depan dan belakang terasa kemas. Rasa teruja untuk melalui selekoh

NVH

Yakin dengan keupayaan cesi SkyActiv Chassis, Mazda menukar tetapan sistem suspensi belakang daripada Multi-Link kepada. Alasan Mazda ialah suspensi Multi-Link terlalu banyak bahagian yang bergerak dan menjadikan NVH tidak bagus berbanding dengan suspensi torsion beam. Pengalaman penulis melalui selekoh di Bukit Putus mengiyakan pendapat jurutera Mazda.

Walaupun hanya dilengkapi dengan suspensi Torsion Beam, kawalan cesi semasa halaju tinggi di jalan lurus, semasa selekoh, dan juga membrek di selekoh amat baik. Olengan cesi terasa amat minimum dan bunyi bising mencatatkan bacaan 70db pada halaju 120km/h. Tayar Yokohama BlueEarth GT dengan saiz 205/60 R16 menyerap segalan kecacatan jalan dengan baik menhasilkan kualiti pemanduan yang selesa.

Sekiranya cesi gagal mengawal pergerakan secara mekanikal, maka sistem G-Vectoring akan masuk campur dengan mengawal input enjin, transmisi dan brek agar cengkaman dan olengan Mazda 3 terasa selamat. Semasa memandu malam pada halaju 130km/j di laluan kampung, penulis terpaksa mengelak seekor musang yang melintas di jalan dan dengan teknik “steer and avoid” tanpa membrek namun pergerakan kereta terasa bersahaja.

Sistem Keselamatan

Mazda3 Sedan dilengkapi dengan:

1. 7 beg udara

2. Brek ABS, EBD dan Emergency Brake Assist

3. Dynamic Stability Control

4. Kamera undur belakang

Kelemahan Mazda 3

Review ini akan menjadi berat sebelah sekiranya kami tidak melaporkan kekurangan yang ada pada model Mazda 3 Sedan High ini. Nanti korang kecam kami buat review berbayar. Antara kekurangan yang dapat dijumpai ialah:

1. Ruang kabin adalah sempit walaupun ia memiliki jarak antara roda 2725mm. Jika anda memasang kerusi bayi di bahagian belakang, agak sukar untuk penumpang depan merendahkan penyandar belakang.

2. Walaupun suspensi belakang menggunakan torsion beam, ruang kargo hanyalah sekitar 444 liter sahaja.

3. Mazda menegaskan Mazda3 direka untuk kegunaan harian, jadi mereka memilih suspensi torsion beam. Dalam keadaan memandu laju di selekoh, jika terdapat bonggol, lubang atau jalan tidak rata di selekoh, cesi Mazda3 akan terasa hilang cengkaman seketika

4. Penyandar tempat duduk belakang menjadi sedikit tegak berbanding dengan jenama lain. Namun ia masih lagi selesa untuk perjalanan jarak jauh

5. Disebabkan cesi Mazda3 terlalu keras, ia cuba melembutkan pergerakan kereta dengan menggunakan tayar Yokohama “eco” bersaiz 16 inci dengan ratio 60. Namun begitu gegeran masih terasa jika tayar melanggar lubang dalam dan cengkaman di selekoh pada hari hujan tidak bagus sangat.

Kesimpulan

Samaada peminat ataupun pengguna akan membeli Mazda3 ini sebenarnya bergantung kepada harga yang ditawarkan. Model paling rendah ditawarkan pada harga RM 140,000 namun ia hanya datang dengan enjin 1500cc. Model yang dipandu uji pula ialah Sedan High 2000cc. Model Mazda 3 Sedan/LiftBack High Plus pula datang dengan harga RM 160,000.

hdr

Perbezaan utama ialah pakej keselamatan Mazda i-ActiveSense yang menawarkan ciri-ciri seperti Lampu Depan Adaptif, Lampu Tinggi Kawalan Automatik, Sistem Amaran Titik Buta, Sistem Amaran Lintasan Belakang, Sistem Brek Pra-Perlanggaran (Depan dan Belakang), Sistem Kawalan Pemanduan Lorong, Sistem Pemantauan Pemandu dan juga Sistem Kawalan Pemanduan Adaptif.

Di dalam segmen C, harga yang ditawarkan oleh Mazda3 sebenarnya cukup tinggi berbanding dengan pesaingnya yang lain. Puncanya ialah Mazda3 merupakan unit pasang siap di Jepun bukannya CKD. Jadi cukai unit CBU agak tinggi berbanding CKD. Mazda menawarkan jaminan 5 tahun serta pakej servis percuma 5 tahun lengkap dengan alat ganti, minyak pelincir dan upah. 5 tahun cuci tangan saja pemilik.

Jika anda mencari sebuah sedan dengan harga bawah RM 150,000 maka Mazda3 bukanlah pilihan yang tepat. Banyak lagi sedan dan SUV lain yang biasa (dan bosan) boleh dipilih. Kalau anda mencari sebuah sedan yang sedap dilihat, cantik, sporti, pemanduan yang mengasyikkan, menjimatkan petrol dan duit bukanlah masalah besar maka Mazda 3 adalah pilihan yang tepat untuk anda.

Penggunaan petrol sepanjang pemanduan ialah 16.44km per liter petrol bagi laluan lebuh raya, jalan biasa, pemanduan laju dan juga perlahan.

Ya lah, dengan harga RM 160,000 ia akan menjadi amat eksklusif untuk pemilik di Malaysia kerana tidak semua orang mampu memilikinya. Ia hanya untuk pemandu berjiwa sukan dan sudah pasti duit dalam akaun bank seperti no telefon.

Nah ni ada kami review dalam bentuk video, tapi yang ni model 1.5.

Google ads
Back to top button