Pandu Uji

8 SEBAB KENAPA MAZDA 6 TURBODISEL 2.2 INI YANG TERBAIK DALAM SEGMEN D

Apabila sebuah model terbaru segmen D dilancarkan tahun lepas ketika temasya AutoShow 2018, saya sangat terkesima dengan harga yang ditawarkan bersama hanya spesifikasi tunggal.

Cuma ada satu varian yang ditawarkan dengan enjin yang sangat canggih jika dibandingkan dengan enjin Viva 660cc. Tiada lagi varian yang murah berharga kurang dari RM150,000.

Tahukah anda, kebanyakan kereta untuk pendaftaran syarikat bagi kegunaan pengarah urusan mestilah berharga kurang dari RM150,000. Mungkin selepas ini pengarah syarikat perlu menaiki kereta model lain seperti Myvi ataupun menukar kepada jenama alternatif lain yang lebih menarik.

Sebagai alternatif lain untuk bos-bos, kita masih ada Honda Accord 2.4 dengan teknologi Honda Sensing, Kia Optima 2.0 TGDi, VW Passat, Peugeot 508, Hyundai Sonata dan juga Mazda 6.

Kebanyakan model segmen D akan datang dengan semua teknologi enjin yang terkini dan bukan dikitar semula, kotak gear yang bagus, sistem keselamatan dengan semua akronim yang bermula dari A sehingga ke Z, dan sudah pasti hadir dengan segala gajet dan peranti yang akan membuatkan anda mengigau pada waktu malam.

Ada pengeluar yang menawarkan enjin kapasiti kecil dengan teknologi turbo, atau digandingkan dengan sistem hibrid, atau mengekalkan enjin dengan kapasiti besar yang akan membuatkan persatuan Greenpeace berpiket di hadapan rumah anda selama seminggu.

Apa kata kita cuba kelainan dengan enjin diesel dengan 2 unit turbo sebagai nadi utama jentera?. Adakah ia akan menjejaskan keselesaan pemandu dan penumpang?

Pihak Bermaz Motor telah menawarkan kepada kami satu unit Mazda 6 dengan enjin 2.2L diesel selama 5 hari bagi tujuan pandu uji dan sedan ini menawarkan satu pengalaman yang cukup meransang minda dan emosi.

Sebuah sedan yang menawarkan pemanduan sporti jauh dari kebiasaan segmen D yang membosankan umpama sebuah perpustakaan, didatangkan dengan enjin yang cukup bertenaga melebihi sebuah trak pikap, ruang dalaman yang mewah dan sistem keselamatan setara dengan sedan milik President Trump.

Spesifikasi Mazda 6 adalah seperti berikut:

  • Harga: RM 197,401.47
  • Segmen: Sedan D
  • Cukai jalan: RM571 setahun
  • Enjin: Mazda SkyActiv D 2200 dengan sistem turbo berkembar
  • Bahan api: Diesel Euro 5 sahaja
  • Kuasa kuda: 173 pada 4500RPM
  • Tork: 450Nm pada 200RPM
  • Transmisi: 6 kelajuan automatic SkyActiv Drive Bersama Lock Up Clutch, pilihan gear manual pada pedal gear dan juga penukar gear pada roda steering
  • Penggunaan bahan api: 19.2 km per liter diesel
  • Pecutan 0 – 100km/h : 8.4 Saat
  • Pecutan maksima: 210km/h – telah diuji
  • Saiz Tayar : 225/45 dengan rim 19 inci
  • Sistem Suspensi depan: Topang McPherson
  • Sistem Suspensi belakang: Sistem sambungan multilink

Pada harga yang menghampiri tanda aras RM200k, adakah Mazda 6 ini berbaloi jika dibandingkan dengan pesaing lain  dari jenama mewah lain?

Dalam segmen ini kita ada SUV seperti BMW X1 (RM 220,800), BMW 2 Series Active Tourer (RM 218,800), Mercedez Benz A 200 Progressive (RM 227,888), Mercedez Benz GLA (RM 244,888), Mercedez Benz CLA (RM 242,888) ataupun Toyota Camry 2.5V (RM 189,900).

Bagi menjawab persoalan di atas, kami akan berikan sebab kenapa anda harus pertimbangkan Mazda 6 berbanding kereta lain.

1. Falsafah Rekabentuk KODO – Soul of Motion

Ikuo Maeda adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan falsafah KODO dalam barisan  produk Mazda termasuk Mazda 6.

Maeda menegaskan alam semulajadi adalah contoh inspirasi rekaan terbaik untuk diterapkan dalam rekabentuk Mazda 6 seperti cheetah yang sedang memburu dan mengejar mangsa.

Dinamik pergerakan cheetah termasuk emosi mencerminkan keperibadian kereta dan bagi menggambarkan emosi kereta, Mazda jarang sekali menggunakan garisan rekabentuk berserabai.

Sebaliknya Maeda menggunakan refleksi cahaya dengan satu garis ringkas yang menggambarkan dinamisme dan energi dalam rekaan. Mazda 6 akan kelihatan tenang, bersahaja namun tampak maskulin tanpa perlu kelihatan meneran sembelit.

Garisan itu bermula dari lampu depan, bersambung dengan perumah tayar, tiang A dan juga garisan “shoulder line”.

“Woi, ko bawak balik Jaguar ke” tegur jiran saya. Hmm baru saya perasan, ada iras iras Jaguar jugak rupanya Mazda 6 ni.

2. Kemasan dalaman ringkas dan mewah dengan kulit sentuhan lembut

Bahagian dalaman pula menggunakan tema kulit berwarna hitam dengan material lembut membaluti panel instrument, bahagian perumah konsol gearbox, kemasan krom merentangi panel instrument, roda steering dan bahagian tengah didominasi dengan panel skrin 7 inci MZD Connect.

Sama seperti CX-5, kesemua fungsi dan butang telah diambil alih oleh unit MZD meninggalkan hanya butang yang penting pada permukaan panel instrument seperti butang kawalan udara.

Sedikit kemasan aluminium brush diletakkan bersama dengan kemasan krom meninggalkan kesan eksklusif berbanding kesan kemasan kayu pokok getah atau sawit.

Kemasan ini diakhiri dengan ikatan benang sebenar yang menyambungkan permukaan kulit bagi menutup panel instrument. Penggunaan kulit pada kusyen, kemasan stereng, dan panel instrument meninggalkan kesan mahal pada ruang dalaman Mazda 6 termasuklah kehadiran cermin panel suria pada bumbung Mazda 6

Sebagai contoh, campuran benang fabrik dengan kulit benar benar menyerlahkan kualiti kemasan  Mazda 6 yang tiada pada pesaingnya terutama pada roda steering, panel instrument dan juga kerusi.

Malah kemasan pada pintu juga turut menerima sentuhan kulit dan jahitan benang. Ketelitian yang dibuat oleh Mazda melambangkan kemewahan. Malah stereng balutan kulit terasa sedap untuk digenggam, dan jari anda akan dapat menyentuh balutan kulit dan benang.

3. Teknologi Enjin SkyActiv – Padu dan bertenaga

Sebaik sahaja kawan kawan saya mencuba untuk memandu Mazda 6, pandangan pertama yang diberikan ialah betapa padunya pecutan enjin yang dibuat oleh Mazda 6 dan mereka akan turut bertanya beberapa kali meminta kepastian kerana sukar dipercayai enjin 2200cc ini ialah enjin diesel.

Bunyi derapan enjin dan bunyi bising yang biasa dikaitkan dengan diesel memang sukar untuk dikesan oleh mereka yang jarang memandu enjin diesel.

Tambahan pula, bau asap diesel langsung tidak dapat dikesan oleh penumpang. Mazda menggunakan teknologi SkyActiv Diesel bagi enjin ini.

Saya telah membuat satu artikel bagaimana Mazda mendefinasikan semula enjin diesel bagi kegunaan Mazda 6 sehinggakan ia terasa sangat lancar seperti sebuah enjin berkuasa petrol.

BACA: SEGALANYA TENTANG MAZDA SKYACTIV-D

Kuasa yang dihasilkan sangat mengujakan dan ia wujud pada mana mana revolusi enjin dengan bantuan 2 unit pendesak turbo. Satu turbo untuk RPM rendah dan satu lagi turbo untuk RPM tinggi.

Saya terpaksa berhati hati menekan pedal minyak kerana ia amat sensitif dan provokatif.

Kuasa enjin dihantar terus pada roda depan menggunakan kotak gear 6 kelajuan SkyActive Drive yang mempunyai ciri istimewa iaitu mekanisme Lock Up Clutch.

BACA: SKYACTIVE DRIVE, TRANSMISI BIJAK DARI MAZDA

Ia memberikan response pantas dan pecutan linear pada Mazda 6 tanpa ada sebarang sentapan pada tubuh pemandu. Sekiranya anda ingin berseronok di selekoh, penukaran gear manual boleh dibuat pada tombol gear dan juga “paddle Shift” yang dipasang di belakang roda stering.

Tapi pada kebanyakan masa saya hanya membiarkan gear berada di kedudukan D dan biarkan sahaja kepintaran buatan SkyActive Drive bekerja.

Bagi menjimatkan bahan api, Mazda 6 turut dilengkapkan dengan sistem i-STOP iaitu sistem yang akan mematikan enjin secara automatik ketika kereta berhenti.

Bagi mengkatifkan sistem ini, pemandu hanya perlu menekan brek kuat sedikit dari biasa dan ECU akan menghentikan enjin serta merta. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, enjin akan hidup seperti biasa.

4. Mazda i-ACTIVSENSE –  Siri keselamatan bersepadu Mazda

Mazda 6 bukan sahaja hadir dengan teknologi keselamatan asas seperti brek ABS, 6 beg udara dan juga Dynamic Stability Control yang akan memantau pergerakan kereta sewaktu selekoh, malah ia turut dipakejkan dengan beberapa ciri keselamatan bersepadu seperti:

4.1 Sistem Lampu Hadapan LED dengan teknologi Adaptif membenarkan sistem kepandaian buatan membuat pembetulan pada lampu LED depan dengan meninggikan sudut lampu dan menambah bilangan mentol LED yang dinyalakan ketika tiada kereta.

Jika sensor mengesan kehadiran lampu depan, sudut lampu akan direndahkan dan beberapa mentol LED akan dipadamkan. Saya hanya menyedari sewaktu mengekori sebuah kereta lain pada waktu malam.

Dari jauh, lampu LED Mazda 6 hanya menyuluh pada bahagian bampar belakang kereta tersebut, dan walaupun semakin dekat, sudut suluhan kekal pada bampar kereta depan.

Smart City Brake Support atau Sokongan Brek Pemanduan di dalam bandar turut dipasang pada Mazda 6 pada bahagian depan dan belakang. Pada kelajuan 4-30km/h untuk arah depan dan 2-8km/h untuk arah belakang, sistem ini akam memberi amaran jika wujud kebarangkalian tinggi untuk berlakunya kemalangan dengan amaran visual dan audio.

Jika pemandu gagal memberikan respon, brek akan diaktifkan serta merta.

4.2 Sistem Amaran Titik Buta akan memberikan amaran visual kepada pemandu pada cermin sisi kedua dua belah sisi kereta, jika wujud kehadiran motosikal atau kereta yang dikesan oleh sensor.

Namun sistem ini masuh gagal mengesan kereta terbang menyebabkan pemandu terpaksa menjenguk melalui cermin suria di bumbung.

4.3 Rear Cross Traffic Alert adalah satu sistem dengan radar bersepadu yang akan memberi amaran jika wujudnya kehadiran kenderaan lain sewaktu anda mengundurkan kereta.

Sistem ini wujud secara bersepadu dengan sistem kamera pandang belakang dan memberikan amaran pantas jika wujud kenderaan lain yang menghampiri.

4.4 Lane Departure Warning System atau sistem amaran bagi membantu pemandu mengekalkan Lorong pemanduan di lebuh raya akan memberikan amaran pada pemandu jika pemandu memandu dengan cuai atau tidak peka dengan jalan.

Amaran audio akan diberikan Bersama dengan getaran pada roda steering bagi menyedarkan pemandu.

4.5 Lane Keeping Assist System adalah sistem tambahan yang bekerjasama dengan Lane Departure Warning System akan membuat pembetulan kecil pada steering jika sistem mendapati kereta tersasar dari Lorong asal. Untuk menukar Lorong, sila hidupkan lampu isyarat menukar laluan ya.

4.6 Driver Attention Alert adalah satu sistem dilengkapi dengan kepandaian buatan yang akan diaktifkan sebaik sahaja pemandu melebihi 65km/h.

Sistem akan belajar kelakuan pemandu, memerhatikan input pemandu dan pergerakan kereta dan akan memberi amaran jika ia mengesan pemandu mulai mengantuk.

Awas, jangan cabut bulu hidung ketika memandu.

5. Menyempurnakan kawalan dinamik dengan G Vectoring Control

Sebelum ini, saya telah menerbitkan satu artikel panjang lebar bagaimana sistem GVC ini berfungsi dalam memberikan pengalaman pemanduan yang jitu kepada Mazda 6.

BACA: SEGALANYA TENTANG MAZDA GVC

Sistem GVC akan menggunakan output enjin SkyActiv D sebagai vector bagi mengawal dan membatalkan pergerakan pitch dan olengan cesi sewaktu kereta mengambil selekoh.

Jadi sebarang gerakan cesi yang akan membuatkan penumpang dan pemandu rasa membuai atau penat akan dikurangkan secara drastik. Ia lebih kepada memberikan keselesaan pada penumpang, bukan membuatkan pemandu mengambil selekoh dengan lebih laju.

6. Head Up Display, berikan tumpuan pada jalanraya

Mazda 6 versi 2200cc turbo diesel datang dengan teknologi Head Up Display yang akan memaparkan maklumat penting seperti halaju, amaran titik buta, sistem navigasi, sistem autocruise, serta amaran kelajuan pada cermin hadapan pemandu.

Amaran ini dipancarkan oleh projektor pada bahagian cermin dan pemandu hanya perlu fokus pada jalanraya kerana segala maklumat sudah dipaparkan. Ia memberikan pengalaman bagaikan anda menerbangkan sebuah jet pejuang

7. Pengalaman pemanduan mewah dan Sporti

Biasanya kereta yang berada di dalam segmen D bersifat mewah tetapi membosankan. Tugas memandu diserahkan kepada pemandu peribadi kerana pemilik lebih gemar berdengkur di kerusi belakang.

Namun dengan Mazda 6, ia bagai menggamit supaya pemilik kereta bergembira apabila memandu. Tekan sahaja pedal minyak dan ia akan menghamburkan kuasa yang tak putus kepada anda walaupun RPM meter sudahpun menjejak ke 5200RPM.

Tindakbalas dan respon enjin diesel ini pantas, seperti SkyActiv G yang dikuasakan dengan petrol namun enjin SkyActiv G lebih halus dan lembut.

Kegagalan untuk mengawal nafsu akan membuatkan Mazda 6 meluru pantas ke depan membuatkan pemandu lain terkesima hairan, bagaimana sebuah kereta eksekutif  seberat 1642kg mampu menewaskan enjin ekzos besar mereka.

Fenomena turbo lag tetap ada, namun ia hanya sekadar kurang 0.4 saat sebaik sahaja pedal minyak ditekan rakus. Tork maksima setinggi 450Nm dihantar seawal 2000RPM akan memudahkan pemandu memotong dan memberikan keyakinan untuk memandu laju walaupun di jalan kampung.

Berikan Mazda 6 selekoh dan ia akan melalui selekoh tersebut dengan selamba badak dengan fenomena olengan dan pitching pada cesi dikawal kemas oleh sistem GVC. Pemindahan berat dari sisi kanan ke kiri atau depan ke belakang dilaksanakan dengan cemerlang tanpa ayunan

Kotak gear SkyActiv Drive memang cemerlang sekali samada di jalan kampung, di bandar ataupun memecut laju di lebuh raya. Di jalan kampung sewaktu hendak memotong kereta perlahan, respon enjin dihantar pantas ke roda membuatkan Mazda 6 meluru deras, manakala di laluan bandar ia bagaikan selembut kotak gear CVT.

Jika anda memerah enjin 2.2L ini di lebuhraya, ia akan gagah ke depan dan dengan sekejap halaju sudahpun menjangkau 2 kali halaju yang dibenarkan oleh pegawai Maqasid Syariah.

Walaupun laju, ia tetap tenang seolah hanya dipandu pada halaju 100km/h tanpa ada sebarang rasa kurang stabil, bunyi angin ataupun rasa membuai buai pada bahagian belakang.

Mazda 6 bagaikan gembira dipandu laju seolah olah di memang dilahirkan untuk tujuan tersebut. Saya hanya kurang berkenan dengan dua perkara sahaja iaitu rasa brek sahaja, seolah olah ia perlu ditekan dalam untuk beraksi. Tayar bersiri 45 pula terasa sedikit keras dan menyumbangkan bunyi jika melalui jalan tidak rata.

Saya mengakui dengan Mazda 6 sepanjang 4865mm dan lebar 1840mm memberikan sedikit cabaran untuk memarkir kereta ini di kawasan letak kereta awam.

Selepas diparkir, ternyata kereta ini Panjang lebih sekaki dari petak parkir. Menyedari masalah ini dari awal, Mazda 6 telah diperkasakan dengan kamera bantuan parkir depan, belakang dan juga pandangan dari atas yang boleh diaktifkan pada bila bila masa ketika melalui tempat sempit. Namun pada hemat saya , kualiti gambar kamera X70 masih lagi menjadi tanda aras.

8. Perkara yang diperhalusi oleh Mazda

  1. Tempat duduk pemandu datang dengan bantuan kuasa elektrik dan boleh diubah melalui 10 cara bagi memenuhi posisi pemanduan. Bagi saya, kerusi ini selesa namun sedikit keras dan saya lebih sukakan kerusi Mazda CX-5. Kerusi ini datang dengan 2 tetapan memori untuk memudahkan pemandu mendapat posisi ideal
  2. Unit Head Up Display beroperasi dengan cemerlang walaupun di bawah cahaya matahari terik ataupun di waktu malam. Ia cukup terang di bawah silau matahari namun tidak membuatkan mata penat jika dipandu pada waktu malam
  3. Unit perehat tangan pada tempat duduk hadapan dan belakang memuatkan sambungan kuasa 2.1 Ampere yang boleh digunakan untuk mengecas peranti telefon pintar. Walaupun datang dengan penutup, ia masih ada laluan khas untuk wayar pengecas
  4. Sistem MZD boleh diakses dengan fungsi sentuhan jari sekiranya gear diletakkan pada posisi P. Namun sebaik sahaja kereta bergerak, ia hanya boleh diakses dengan butang kawalan MZD yang diletakkan pada posisi ergonomic
  5. Kualiti pembesar suara dengan jenama Bose memang betul betul padu dan sedap pada gegendang telinga. Kualiti bass yang dihasilkan terasa amat padat dan kemasan pintu bertindak memindahkan gegaran pembesar suara tanpa ada bunyi skru longgar.
  6. Ada sesekali Driver Attention Alert bertindak memberikan amaran apabila pemandu hilang fokus pada pemanduan dengan amaran bunyi yang Panjang dan keras. “Hoi kalau mengantuk berhenti la rehat” itulah agaknya mesej yang cuba disampaikan
  7. Enjin diesel yang digunakan sangat senyap, tidak berasap dan juga berbau busuk seperti kebiasaan trak pikap. Malah penggunaan diesel ialah sekitar 15km per liter diesel, sedikit tersasar dari jangkaan awal memandangkan saya taktahan godaan nafsu menekan pedal minyak

Adakah Mazda 6 berbaloi untuk dibeli?

Sekiranya anda mempunyai peruntukan kewangan mencukupi dan mencari kereta sedan besar untuk kegunaan sendiri dan anda gemar memandu, maka Mazda 6 dengan enjin turbo diesel 2200cc ini wajar dipertimbangkan sebagai calon yang paling munasabah.

Ia kelihatan segak bersahaja, sedap dipandu seperti sebuah kereta sport Kontinental, mempunyai ketahanan sebuah kereta jenama Jepun, sangat berkuasa dan stabil pada halaju tinggi.

Oh ya, jangan biarkan jenama terkenal mengaburi mata anda dengan enjin ketinggalan zaman. Anda lebih layak memandu Mazda 6 ini berbanding sedan lain dengan enjin yang dibuat ketika zaman Tok Janggut.

GALERI

Google ads
Back to top button