,
Artikel PilihanBuletin

MAZDA CX-30 AKAN KE PASARAN MALAYSIA – BOS BERMAZ AUTO

Sewaktu majlis pelancaran Mazda 3 semalam, CEO Bermaz Auto Berhad, Dato Seri Ben Yeoh memberitahu bahawa mereka akan membawa masuk SUV terbaru CX-30 ke pasaran Malaysia.

Ia satu kenyataan yang agak mengejutkan kerana kita mengetahui bahawa Mazda bukanlah sebuah pengeluar kereta yang besar. Kapasiti pengeluaran mereka lebih kecil dari Hyundai dan Kia.

Untuk rekod, CX-30 baru sahaja dipertontonkan di Geneva pada Mac lalu dan belum ada pun pasaran yang menerimanya.

Mazda satu-satunya pengeluar jenama Jepun yang mempunyai varian SUV yang lengkap. Mereka ada ada CX-3, CX-30, CX-4 (China), CX-5, CX-7 (Dihentikan pengeluaran pada 2012), CX-8 dan CX-9.

Di pasaran tempatan, Mazda menjual CX-3, CX-5 dan CX-9. Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Mazda akan membawa masuk CX-8 pada penghujung tahun ini.

Jadi kebarangkalian CX-30 masuk ke pasaran Malaysia paling awal adalah pada tahun hadapan.

Ketika dipertontonkan di Geneva, Mazda CX-30 didatangkan dengan pilihan enjin Skyactiv-G 2.0, Skyactiv-D 1.8 disel dan enjin baru Skyactiv-X enjin dengan mampatan pembakaran petrol.

Kedua-dua enjin petrol akan digandingkan dengan teknologi mild hybrid untuk meningkatkan ekonomikal bahan bakar tanpa mengorbankan prestasi.

CX-30 juga akan ditawarkan dengan pacuan semua roda I-Activ dan G-Vectoring Control Plus. Kesemuanya digabungkan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan. Maaf. Mazda memang tak berminat dengan CVT.

SUV ini juga dilengkapi dengan sistem pemantauan pemandu dengan padanan LED infrared dan kamera untuk mengesan mimik muka tumpuan pemandu. Ia akan mengingatkan pemandu untuk memberi perhatian dan memberi amaran suara membrek lebih awal.

Antara sistem keselamatan lain ialah Front Cross Traffic Alert dan Cruising & Traffic Support. Ia adalah sistem Cruise Auto dengan halaju rendah yang mengoperasikan brek, kawalan minyak dan stereng ketika kesesakan trafik.

Menurut boss Mazda juga, CX-30 akan dijual dalam bentuk CKD bagi membolehkan harganya kompetitif.

Adakah CX-30 akan menggantikan CX-5?

Pada pendapat kami tidak. Mungkin ramai yang beranggapan CX-30 akan menggantikan CX-5 sebagaimana CX-5 menggantikan CX-7. CX-30 diposisikan antara CX-3 dan CX-5 dan jika ia satu pilihan kami rasa Mazda CX-30 akan menggantikan CX-3.

CX-30 merupakan SUV generasi era baru Mazda yang bermula dengan model Mazda 3. Ia sebuah produk berimej premium dengan segala kelengkapan keselamatan, bahasa badan, rekabentuk, ruang dalaman yang mewah dan sebenarnya Mazda memang cuba lari dari bersaing dari produk massa dalam kategori yang sama.

GALERI

Google ads
Back to top button