Buletin

TAHUKAH ANDA MAZDA CX-8 POPULAR DI JEPUN? ADA 6 TEMPAT DUDUK

Mazda baru-baru ini telah membuat pratonton CX-8, SUV dengan tiga baris tempat duduk bersama media tempatan.

Mazda sebelum ini sudah pun mempunyai SUV dengan ciri yang sama iaitu CX-9.

Cuma, model itu kurang berada di atas jalan raya disebabkan persaingan dan harga yang tinggi.

Masakan tidak, pengguna tempatan ditawarkan pelbagai MPV recond dengan ruang yang luas dan selesa pada harga lebih rendah.

Dengar kata, CX-8 bakal ditawarkan di negara kita dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dan ini memberi kemungkinan harga yang lebih mesra pengguna.

Lagi pula, SUV dengan tiga baris tempat duduk bukan suatu yang asing di kalangan pengguna tempatan.

Di antara SUV dalam segmen ini ialah Kia Sorento, Hyundai Santa Fe, Toyota Fortuner, Mitsubishi Outlander dan Nissan X-Trail.

Adakah Mazda CX-8 ini bakal menjadi hit seperti CX-5 dan CX-3?

Jika di Jepun, jawapannya ya memang hit.

Sejak CX-8 diperkenalkan pada Disember 2017, pasaran domestik SUV tiga baris tempat duduk semakin berkembang.

Jualan dalam segmen ini pada tahun 2018 meningkat sebanyak 180 peratus berbanding tahun 2017.

Menariknya, CX-8 adalah peneraju segmen dengan penguasaan pasaran sekitar 50 peratus!

Pada tahun 2018, Mazda CX-8 terjual sebanyak 30,679* unit seterusnya menduduki tempat pertama SUV tiga baris tempat duduk domestik.

Masalah dengan SUV kategori ini ialah kerusi barisan ketiga yang bersifat acah-acah.

Mazda membina CX-8 ini dengan kerusi barisan ketiga untuk dewasa, bermakna ukurannya penuh dan bukan sekadar untuk kanak-kanak sahaja.

Mazda mereka bentuk SUV ini dengan gaya dan kualiti tinggi dan selesa untuk penumpang.

SUV ini memang jelas ‘abang’ kepada CX-5 dengan bentuknya yang saling tidak tumpah.

Dari segi spesifikasi, Mazda CX-8 bakal ditawarkan dengan dua jenis enjin iaitu 2.2 liter SkyActiv-D turbo diesel berkuasa 188 hp pada 4,500 rpm dan tork 450 Nm pada 2,000 rpm.

Satu lagi enjin ialah 2.5 liter SkyActiv-G dengan 192 hp pada 6,000 rpm dan tork 257 Nm pada 3,250 rpm.

Kedua-dua jenis enjin dipadankan bersama transmisi enam kelajuan automatik SkyActiv-Drive.

Tentang harga pula, masih tidak dipastikan dan harapnya biarlah setara dengan pesaing lain.

Harga cadangan kami ialah di bawah RM 200,000.

Sedang elok, sedang cantik, kan?

*Data daripada Mazda

Tags
Google ads
Back to top button