Buletin

PREBIU MAZDA CX-8. 6 & 7 TEMPAT DUDUK, CKD AKHIR TAHUN, HARGA SEKITAR RM200K

Tanpa sebarang berita, secara tiba-tiba sahaja Bermaz Motor yang bertanggungjawab ke atas jenama kenderaan Mazda di Malaysia mendedahkan SUV terbaharunya, Mazda CX-8. 

Jangan terlebih teruja dahulu. Sebabnya, ini ialah unit yang diimport terus dari Jepun dan akan dibawa ke kilang Mazda di Kulim untuk dikaji sebelum program pemasangan semula dijalankan pada lewat tahun ini. 

Biarpun begitu, Bermaz ada berkongsi beberapa perincian penting mengenai CX-8. SUV yang cukup laris di pasaran Jepun itu dikatakan bakal dikuasakan oleh dua pilihan enjin iaitu 2.5 liter petrol aspirasi biasa (NA) berkuasa 192hp dan tork 257Nm.

Manakala enjin turbo diesel bersesaran 2.2 liter pula mampu menjana kuasa 188hp dengan tork 450Nm. 

Ditawarkan dalam empat varian satu enjin diesel dan tiga enjin petrol, semua varian tersebut menggunakan khidmat transmisi automatik enam kelajuan.

Antara perbezaan ketara ialah pacuan semua untuk model diesel dan pacuan roda hadapan bagi versi petrol. 

Saya sempat melihat secara dekat dua varian (diesel dan Petrol) dengan kapasiti tujuh dan enam tempat duduk di ibu pejabat Bermaz Motor di Glenmarie, Shah Alam baru-baru ini. 

Jika dilihat dari luaran, tiada apa yang berbeza. Ia dilengkapi lampu LED automatik, lampu kabus LED dan rim aloi bersaiz 19 inci. Semua itu diadun dengan seimbang menerusi penampilan warna merah yang cukup menawan. 

Menjengah ke ruang kabin, anda akan dihidangkan dengan penggunaan material berkualiti tinggi dan susun letak yang kemas. Bahagian atas papan pemuka dihuni oleh paparan skrin yang membolehkan anda mengawal pelbagai ciri seperti radio, navigasi, tetapan dan fungsi telefon. 

Antara ciri lain yang ditawarkan termasuklah MZD Connect, kawalan suhu tiga zon, sistem kemasukan tanpa kunci, enam beg udara, kawalan cengkaman, Hill Launch Assist dan ABS dengan EBD. Tidak ketinggalan, teknologi G-Vectoring Control dan sistem melahu i-Stop. 

Saya sukakan material kulit berwarna cerah pada varian petrol. Tetapi, berdasarkan kepada pengamatan, warna ini hampir pasti tidak ditawarkan kepada pengguna di Malaysia. 

Versi petrol hadir dengan susun atur tempat duduk 2-3-2. Manakala varian diesel didatangkan dengan enam tempat duduk (dua kerusi kapten) pada baris kedua. Pastinya model ini lebih selesa untuk perjalanan jauh. 

Perehat tangan di tengah itu juga tidak boleh dialihkan. Jadi, penumpang tidak boleh bergerak dari baris kedua ke baris ketiga atau sebaliknya. 

Harus tahu bahawa ini adalah perincian awal sahaja. Maklumat akhir CX-8 akan dikongsi Bermaz Motor apabila ia dilancarkan pada separuh kedua tahun ini. Oh ya, CX-8 dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM200,000 seunit. 

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button