Buletin

MAZDA CX-50 2023 – CX-5 DENGAN GAYA OFF-ROAD

Mazda CX-50 2023 baharu sahaja dilancarkan di Amerika Syarikat dengan membawakan rupa paras yang jauh lebih agresif jika dibandingkan dengan model CX-5.

Disifatkan sebagai pelengkap kepada model CX-5 sedia ada, Mazda memberikan penampilan yang lebih ke arah model off-road meskipun mengekalkan bahasa rekaan Kodo yang telah wujud setelah sekian lama.

Ia boleh dilihat menerusi pemasangan cladding plastik pada arka roda yang lebih bersegi serta muka hadapan, sementara bahagian bumbung pula menampilkan rel berkekuatan tinggi untuk memuatkan barangan.

Rekaan gril juga turut menampilkan aksen hitam yang lebih ketara, serta bukaan sisi pada bahagian bampar depan yang agak besar.

Sementara ruang kabin pula, Mazda masih lagi mengekalkan susun atur papan pemuka yang berorientasikan pemandu, namun kini dilengkapi dengan penggunaan bahan yang lebih premium, warna Terracotta, bumbung panoramik dan kehadiran ruang storan.

Mazda CX-50 2023 masih lagi mengekalkan penggunaan nadi 2.5 liter aspirasi natural untuk varian asas, sementara varian tertinggi pula mendapat nadi 2.5 liter turbo yang dipadankan dengan pacuan semua roda dan transmisi automatik enam kelajuan.

Sistem pacuan semua roda i-Activ itu menampilkan ciri pemilihan mod pemanduan Mi-Drive, di mana pemandu boleh memilih mod yang dikehendaki seperti Normal, Sport dan Off-Road, serta mod untuk menunda muatan di bahagian belakang.

Tiada sebarang spesifikasi kuasa didedahkan buat masa ini, namun Mazda mengesahkan CX-50 versi hibrid bakal muncul pada masa akan datang.

Difahamkan, produksi CX-50 hanya akan bermula menjelang awal tahun hadapan.

Google ads
Back to top button