Buletin

LANCIA FULVIA PARKIR KOTAK SAMA SELAMA 47 TAHUN JADI LEJEN DI ITALI

Sebuah kenderaan Lancia Fulvia 1962 yang parkir di kotak parkir sama selama 47 tahun menjadi mercu tanda di bandar Conegliano, Itali.

Bahkan, ia menjadi tarikan penduduk setempat dan para pelancong yang mengunjungi bandar tersebut.

Bagaimanapun, selepas berpuluh-puluh tahun masa berlalu, kenderaan klasik itu akhirnya ditunda pihak berkuasa tempatan.

Menurut media tempatan, pemilik asal kenderaan, Angelo Fregolent berkata dia menjalankan perniagaan menjual akhbar di bawah rumahnya selama 40 tahun bersama isterinya, Bertilla.

Dia akan parkir Lancia Fulvia itu di hadapan gerai akhbar berkenaan untuk mengangkut akhbar dari bonet kereta terbabit.

Apabila pasangan berkenaan bersara, Fregolent meninggalkan kenderaan di kawasan tersebut malah tidak diusik dan muncul pada Google Maps sehingga menjadi tarikan penduduk setempat.

Calon politik dan penduduk setempat akan merakam gambar selfie bersama sedan empat pintu itu.

Berikutan mendapat liputan media tempatan, kenderaan tersebut tidak dimusnahkan pihak berkuasa tempatan malah dipertontonkan pada pameran Auto e Moto d’Epoca baru-baru ini.

Difahamkan, Lancia Fulvia legend tersebut akan menjalani proses restorasi dan diletakkan di Cerletti Enological School. –thedrive

Google ads
Back to top button