Buletin

MAZDA FLAIR WAGON TOUGH STYLE 2025, GAYA LASAK UNTUK PELANGGAN DI JEPUN

Pengenalan beberapa model kei-car di Jepun kebelakangan ini boleh disimpulkan bahawa demam gaya hidup luar sedang melanda negara itu.

Sebagai contoh Mitsubishi Delica Mini, Honda N-Box Joy dan menariknya kenderaan utiliti sukan (SUV) HR-V turut tampil rugged dengan aksesori Honda Access.

Ini pula tawaran terbaru iaitu Mazda Flair Wagon Tough Style. Model ini bukan baru masuk gelanggang tetapi sambungan kepada Flair Wagon Tough Style yang diperkenal pada Disember 2018 dan kembar Suzuki Spacia Gear.

Terdahulu Mazda memperkenalkan Flair Wagon dan Flair Wagon Custom Style generasi keempat pada Disember 2023.

Mazda Flair Wagon Tough Style 2018

Selari dengan generasi keempat, Flair Wagon Tough Style menerima rekaan baharu sepenuhnya namun masih mengekalkan identiti rupa depan sebelum ini dengan lampu bulat dan perumah yang panjang.

Lampu LED ditemani jeriji bentuk blok warna krom, bampar depan dan belakang dengan plat pelindung bagi menampakkan gaya sebuah SUV.

Skirt sisi juga membawa konsep sama dan ruang roda diisi rim aluminium 14 inci dalam warna gunmetal. Di atas bumbung dipasang rak untuk membawa barang tambahan ketika keluar berkhemah.

Bahagian dalam meriah dengan permainan warna dan kerusi dibalut fabrik kalis air. Lantai kargo mempunyai pelapik kalis pasir dan selut sesuai dengan kegunaannya sebagai kereta gaya hidup luar.

Seperkara menarik tentang Flair Wagon ialah kerusi belakang yang lengkap dengan perehat kaki untuk menjadikannya kerusi ottoman. 

Stereng dan kerusi depan dan belakang dengan fungsi pemanas menambah keselesaan buat pengguna.

Dari segi keselamatan, Flair Wagon dan Flair Wagon Custom Style dilengkapi brek pencegahan kemalangan Dual Sensor Brake Support II yang menggabungkan radar gelombang milimeter dan kamera monokular.

Turut dilengkapi Kawal Suai Pandu dengan fungsi pengesanan kelajuan penuh dan stop-hold dan kamera pandangan sekeliling.

Kesemua varian diklasifikasikan sebagai Sapocar ​​S Wide (Safety Support Car S) dari pemerintah Jepun dan disarankan kepada pemandu terutama sekali warga emas.

Kelengkapan yang melayakkan status tersebut seperti brek pencegahan kemalangan (pejalan kaki), peranti penahan pecutan tersalah tekan pedal, amaran penukaran lorong dan lampu automatik.

Varian dan harga Mazda Flair Wagon Tough Style 2025:

Flair Wagon Tough Style XS

  • 660cc DOHC VVT
  • CVT
  • 49ps@6,500 rpm, 58Nm@5,000 rpm (enjin)
  • 1.9kW (2.6ps)@1,500 rpm, 40Nm@100 rpm (motor elektrik)
  • Bateri litium-ion 5Ah
  • 2,159,300 yen (RM61,984) – 2WD
  • 2,279,200 yen (RM65,421) – 4WD

Flair Wagon Tough Style XT

  • 660cc DOHC VVT Turbo
  • CVT
  • 64ps@6,000 rpm, 98Nm@3,000 rpm (enjin)
  • 2.3kW (3.1ps)@1,000 rpm, 50Nm@100 rpm (motor elektrik)
  • Bateri litium-ion 5Ah
  • 2,244,000 yen (RM64,404) – 2WD
  • 2,363,00 yen (RM67,844) – 4WD

Google ads
Back to top button