Buletin

MAZDA FLAIR WAGON DAN FLAIR WAGON CUSTOM STYLE 2024, DARIPADA RM50 RIBU!

Satu fakta tentang kereta mini (keicar) di Jepun ialah model yang ditawarkan mempunyai regu masing-masing.

Jika Nissan dan Mitsubishi dengan Dayz dan eK, Suzuki dan Mazda pula dengan Spacia dan Flair.

Di Jepun, Suzuki memperkenalkan Spacia generasi ketiga pada Japan Mobility Show 2023 November lalu dan terbaru giliran Mazda Flair Wagon dan Flair Wagon Custom Style.

Model baharu tampil dengan perubahan luar dan dalam termasuk kelengkapan keselamatan.

Jika ada yang merasakan muka depan Flair Wagon Custom Style nampak seperti Honda N-Box, jawapannya ialah keicar Mazda membawa muka garang sejak generasi sebelum ini lagi.

Flair Wagon dan Flair Wagon Custom Style dibahagikan kepada empat varian iaitu XG, XS, XS dan XT.

Di antara ciri baharu ialah kelepak atau hendal pelbagai guna pada kerusi belakang (kecuali Flair XG).

Kelepak itu boleh digunakan untuk melaras kedudukan otoman termasuk sandaran bawah lutut atau menghalang bagasi dari terjatuh.

Keselesaan penumpang bertambah dengan kerusi depan dan belakang mempunyai fungsi pemanas (kecuali Flair Wagon XG 2WD) dan meja untuk penumpang belakang.

Lagi fungsi seperti lipatan sandaran kerusi belakang dan perehat tangan kanan dan kiri (kecuali Flair XG).

Flair Wagon dibekalkan enjin 660cc VVT dengan teknologi mild-hybrid dan padanan kotak gear CVT serta pilihan pacuan dua roda atau empat roda bagi keempat-empat varian.

Enjin naturally-aspirated menghasilkan 49 ps pada 6,500 rpm dan tork 58Nm pada 5,000 rpm. Motor elektrik WA04C mempunyai kuasa 2.6 ps pada 1,500 rpm dan tork 40Nm pada 100 rpm.

Enjin turbo yang khusus untuk Flair Wagon Custom Style XT lebih bertenaga dengan 47 ps pada 6,000 rpm dan tork 98Nm pada 3,000 rpm.

Motor elektrik WA05A menghasilkan 3.1 ps pada 1,000 rpm dan tork 50Nm pada 100 rpm.

Struktur badan rekaan baharu mempertingkatkan kestabilan pengendalian dan penggunaan perekat pada sambungan bahagian bawah badan menyumbang kepada dalaman kereta yang senyap.

Tiang depan dinipiskan untuk memberi jarak pandangan lebih baik dan meningkatkan penglihatan terhadap pejalan kaki dan keadaan jalan raya semasa membelok ke kanan atau kiri.

Dari segi keselamatan, kesemua varian dilengkapi Dual Sensor Brake Support II sebagai ciri asas.

Sistem brek pencegahan kemalangan itu menggabungkan radar gelombang milimeter dan kamera monokular dan pertama untuk sebuah kenderaan ringan Mazda.

Selain itu, kawalan suai pandu dengan fungsi pengekoran semua kelajuan dan stop hold (Flair Wagon Custom Style, Flair Wagon XS Safety Plus Package) menjadikan pemanduan lebih selamat.

Kesemua varian didatangkan bersama skrin LCD TFT berwarna saiz 4.2 inci.

Ciri-ciri Mazda Flair Wagon:

  • Reka bentuk luar dipengaruhi kontena kapasiti besar dengan bentuk sisi berlekuk seperti permukaan kontena

  • Sembilan warna termasuk dua tona di antaranya Mimosa Yellow Pearl Metallic dan Tawny Brown Metallic

  • Bahagian dalam dengan warna coklat, kopi susu dan kelabu

Mazda Flair Wagon Custom Style

  • Tampil dengan wajah garang dan serius

  • Enam warna termasuk dua tona di antaranya Pure White Pearl dan Steel Silver Metallic

  • Bahagian dalam hitam, merah gelap separa kusam dan hitam piano kilat

  • Stereng dengan fungsi pemanas

Harga Flair Wagon bermula daripada 1,541,100 yen (RM50,079) untuk varian asas XG 2WD sehingga 2,400,200 yen (RM77,996) bagi varian teratas Custom Style XT 4WD.

Mazda Flair Wagon Custom Style:

Mazda Flair Wagon:

Google ads
Back to top button