MAZDA KOMITED HASILKAN ENJIN YANG LEBIH BAGUS. ENJIN ROTARI AKAN KEMBALI
Ada beberapa perkara yang Mekanika sangat berkenan dengan Mazda. Ia bermula dari rekaan Kodo yang menawan, pemanduan dan pengandalian yang bagus, kawalan kokpit yang baik serta enjin yang bagus. Setakat ini kami sangat sukakan barisan enjin yang ditawarkan oleh Mazda
Bermula dengan enjin SkyActiv-G, SkyActiv-G turbo, SkyActiv-D dan SkyActiv-X yang tidak ditawarkan pada pasaran kita. Semua enjin yang ditawarkan oleh Mazda sangat menjimatkan dan berkuasa. Berita baik untuk peminat Mazda, berdasarkan laporan kemajuan kewangan syarikat dan halatuju bagi tahun 2021 nampaknya ada berita baik untuk kita semua.
Jika anda terus ke muka surat 21, anda akan mendapati bahawa Mazda sedang merancang untuk memperkenalkan lagi 3 lagi enjin baru iaitu enjin 6 silinder pacuan belakang, enjin 4 silinder pacuan belakang serta enjin baru khas untuk pembangunan teknologi hibrid. Enjin ini dibangunkan khas untuk misi menghasilkan enjin berkuasa, rendah pengeluaran gas Karbon Dioksida serta dilengkapi dengan teknologi elektrifikasi
Apa yang pasti enjin-enjin ini bakal dibangunkan dengan menggunakan teknologi pembakaran SkyActiv-X (petrol dibakar secara mampatan sama seperti disel bagi mencapai kecekapan termal yang tinggi). Kami menganggarkan bahawa enjin 6 silinder ini bakal memiliki sesaran minima 3000cc pacuan belakang yang akan digunakan pada model Mazda 6 generasi baru
Terdapat juga khabar angin mengatakan Toyota turut berminat dengan enjin 6 silinder ini dan sebagai timbal balas, Toyota akan memberikan teknologi hibrid mereka kepada Mazda. Fokus Mazda ialah membangunkan enjin hibrid ringan dengan 48volt serta hibrid dengan teknologi plug-in.
Pembentangan ini juga menunjukkan bahawa dalam masa 2 tahun lagi, enjin rotari bakal kembali mengusai jentera Mazda tapi bukan sebagai punca kuasa utama. Enjin rotari yang kompak ini akan berfungsi sebagai range-extender bagi kenderaan Mazda yang datang dengan teknologi elektrifikasi dan hibrid. Jadi anda tidak perlu bimbang dengan masalah jarak perjalanan.
Agak menarik sebenarnya untuk melihat enjin rotari kembali ke pasaran dengan teknologi pembakaran SkyActiv-X. Buat masa ini hanya Mazda MX30 sahaja yang dipasarkan di Eropah sebagai kereta elektrik dan bagi pasaran Jepun, MX30 datang dengan teknologi hibrid yang menggabungkan enjin 2000cc e-SkyActiv-G dengan motor elektrik 6.8 kuasa kuda serta bateri 24 volt.
Dalam perkembangan lain, Mazda 3 facelift telah diperkenalkan di pasaran Jepun dengan enjin 2000cc SkyActiv-X telah menerima sedikit talaan baru termasuklan rekaan baru pada unit supercaj yang digunakan. Talaan baru ini memberikan supercaj respon yang lebih pantas, melonjakkan kuasa enjin menjadi 187 kuasa kuda dan 240Nm tork. Supercaj digunakan pada enjin SkyActiv-X untuk menyokong teknologi nisbah mampatan 16:1 serta nisbah udara ke petrol setinggi 37:1.