
MENINGGALKAN F1 TIDAK AKAN MEMBAWA KEBAIKAN KEPADA FERRARI – JEAN TODT
Satu dunia sudah tahu Ferrari membuat ugutan untuk meninggalkan F1 kerana tidak berpuas hati dengan peraturan baru yang akan digunakan selepas ini. Tapi menurut satu sumber dalaman, langkah tersebut jika diambil bukan hanya akan menjejaskan F1 tetapi juga akan menjejaskan pengeluar dari Itali itu sendiri.
Siapakah sumber tersebut? Orangnya tidak lain ialah Jean Todt yang sekarang merupakan presiden FIA yang menyelia perlumbaan tersebut. Sebelum ini Todt sendiri merupakan sebahagian daripada Ferrari, mulanya sebagai ketua pasukan perlumbaan F1 dan kemudiannya sebagai CEO Ferrari, jawatan kedua tertinggi selepas jawatan pengerusi yang disandang oleh Luca de Montezemolo.
Todt memberitahu Autosport, semestinya FIA tidak mahu mana-mana pasukan menarik diri apatah lagi Ferrari yang sudah bertaraf ikon F1. Ferrari merupakan satu-satunya pasukan yang sentiasa bersama F1 sejak dari ia diperkenalkan dan beliau tidak mahu melihat Ferrari menarik diri. Todt juga menyatakan yang bukannya sesuatu yang baik bagi Ferrari sendiri jika mereka meninggalkan F1. Ini kerana Ferrari ialah jenama unik yang menggabungkan perlumbaan dan kereta jalanan biasa.
BACA: FERRARI UGUT TINGGALKAN F1 – TIDAK PUAS HATI DENGAN PERATURAN BARU
Dengan kata lain, perlumbaan merupakan sebahagian daripada DNA Ferrari dan meninggalkannya seperti sengaja menjejaskan struktur syarikat itu sendiri. Walaupun ada perlumbaan lain sebagai alternatif seperti Formula E ataupun World Endurance Championship untuk menggantikannya, ia tetap tidak sama dengan apa yang ditawarkan oleh F1.
Pasukan dari Maranello itu mengancam untuk meninggalkan F1 gara-gara tidak berpuas hati dengan cadangan peraturan baru sukan tersebut antaranya ialah berkenaan spesifikasi enjin. Ferrari tidak mahu melihat saiz enjin dikecilkan lagi ataupun diselaraskan untuk mengurangkan kos. Jika ia berlaku, mereka akan meninggalkan F1 kata Sergio Marchionne, CEO Ferrari.
Ia berkemungkinan berlaku kerana Ferrari mempunyai kuasa veto dalam F1. Sebarang perubahan pada peraturan memerlukan kelulusan pasukan yang bertanding. Walaupun tidak adil untuk pasukan lain, Todt sendiri terkejut dengan sokongan yang diterima Ferrari dalam hal ini.
Todt turut menyambung yang perbincangan akan diteruskan oleh beliau selaku presiden FIA dengan pasukan-pasukan yang bertanding kerana mereka semua mempunyai kepentingan dalam F1.
Sejujurnya kami pun tidak faham dengan istilah pengurangan kos dalam F1 ni. Semua tahu yang kos F1 memang mahal begitu juga dengan pasukan yang bertanding. Yang tidak mampu awal-awal lagi tidak akan menyertai perlumbaan berprestij ini. Hanya yang mampu akan kekal apa masalahnya, ye tak? Ini bukannya perlumbaan ‘mampu milik’. Tapi ini sekadar pendapat kami saja. Anda pun mesti ada pendapat sendiri.