Buletin

MERCEDES-BENZ GLA200 DAN GLA250 4MATIC NIGHTFALL EDITION DIPERKENALKAN – HARGA BERMULA RM258K

Mercedes-Benz Malaysia melancarkan SUV kompak premium GLA200 dan GLA250 4Matic Nightfall Edition untuk pasaran tempatan.

Kedua-duanya dipasang secara tempatan (CKD), dengan harga bermula RM258,888 bagi GLA200 dan RM295,888 untuk GLA250 4Matic (atas jalan, tidak termasuk insurans).

Nightfall Edition ini diasaskan daripada pakej AMG Line, namun diberikan sentuhan lebih agresif. Ia menerima sistem brek sport serta talaan suspensi comfort yang direndahkan bagi penampilan dan pengendalian lebih dinamik.

Pakej Night menonjolkan kemasan hitam berkilat pada pelbagai bahagian luaran; daripada gril hadapan hinggalah ke rim, menggantikan elemen krom konvensional dengan gaya ‘blacked-out’ yang lebih moden.

  • GLA200 dipadankan dengan rim aloi ringan AMG lima jejari berkembar bersaiz 19-inci.
  • GLA250 4Matic pula tampil lebih menyerlah dengan rim AMG multi-spoke 20-inci.

Bagi varian lebih berkuasa itu, ia turut dilengkapi sistem lampu hadapan Multibeam LED bersama Adaptive Highbeam Assist. Teknologi ini menawarkan fungsi pencahayaan pintar termasuk mod lampu adaptif, high beam jarak jauh ultra serta pelarasan automatik mengikut keadaan trafik.

Di ruang dalaman, kabin AMG Line menampilkan bumbung fabrik hitam, stereng sport multifungsi berbalut kulit Nappa serta kemasan Artico dan Microcut rona hitam dengan jahitan kontras kelabu.

Ciri lain yang melengkapkan suasana premium termasuk:

  • Tempat duduk sport
  • Tali pinggang keselamatan warna kelabu
  • Kemasan aluminium corak longitudinal ringan
  • Paparan berkembar 10.25-inci untuk kluster digital dan sistem infotainmen
  • Penyaman udara automatik Thermotronic
  • Pakej parkir dengan kamera 360 darjah dan Active Parking Assist

Beralih pada kuasa, GLA200 dikuasakan enjin 1.3 liter turbo empat silinder yang menjana 163hp dan 270Nm.

Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi klac berkembar tujuh kelajuan (7G-DCT). Pecutan 0–100 km/j dicapai dalam 8.9 saat, dengan kelajuan maksimum 210 km/j.

Sementara itu, GLA250 4Matic menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 224hp dan 350Nm, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda 4Matic.

Ia turut dibantu sistem mild-hybrid 48V yang menyumbang tambahan 14hp dan 150Nm ketika diperlukan. Hasilnya, SUV ini mampu memecut dari 0–100 km/j dalam 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 240 km/j.

Dengan gaya lebih berani dan pakej kelengkapan yang dipertingkat, Nightfall Edition memberikan alternatif lebih eksklusif buat pembeli.

GALERI:

MB GLA 200 Night Edition

MG GLA 250 Night Edition

Google ads
Back to top button