MERCEDES-BENZ VANS BAWA BENGKEL KEPADA PELANGGAN, LENGKAP DENGAN JEK 5.5 TAN!
Dengan ratusan ribu kenderaan terjual setiap tahun di pasaran tempatan, kunjungan ke pusat penyelenggaraan tidak semudah sampai dan tunggu siap.
Pelanggan perlu membuat tempahan awal dan kadang-kala perlu mengambil cuti untuk urusan tersebut.
Berkunjung ke bengkel luar bukan satu pilihan kerana sesebuah kereta perlu diselenggara oleh pengeluar bagi mengekalkan jaminan.
Untuk pengeluar pula, menambah kapasiti penyelenggaraan memerlukan sumber yang tidak sedikit.
Ada cara lain? Mercedes-Benz Vans membawa terus bengkel ke pelanggan atau dalam terma mudah, pomen bergerak!
Diakui, di dalam negara ramai mekanik bebas memberi khidmat serupa tetapi ini dari pengeluar sendiri.
Melalui Khidmat Bergerak untuk Mercedes-Benz Vans, pelanggan komersial dan persendirian boleh mendapatkan khidmat penyelenggaraan, pemeriksaan dan pembaikan di premis dan lokasi mereka.
Khidmat bengkel bergerak telah pun dijalankan oleh beberapa syarikat rakan kongsi terpilih di Jerman, Amerika Syarikat dan Norway menggunakan Mercedes-Benz Vito.
Khidmat tersebut kini turut merangkumi van Sprinter dengan tumpuan pada pelanggan komersial.
Buat permulaan, khidmat bengkel bergerak Sprinter ditawarkan di Jerman, Austria, Sepanyol dan Denmark dan bakal diperluaskan ke beberapa pasaran lain.
Di antara kelebihan bengkel bergerak ialah waktu gendala (downtime) dapat dikurangkan. Pelanggan boleh mengatur beberapa kenderaan untuk diselenggara sekaligus dengan hanya satu janji temu.
Khidmat Bergerak Mercedes-Benz dijalankan oleh pakar Mercedes-Benz dan pakar penyelenggaraan yang dilatih khas.
Mutu dan prestasi tinggi Mercedes-Benz juga terjamin sama seperti di bengkel tetap melalui penggunaan alat ganti tulen dan peralatan diagnostik terkini.
Di antara khidmat yang ditawarkan ialah penyelenggaraan, penggantian barangan lusuh seperti pad brek, penapis, bendalir, diagnosis dan kemaskini perisian.
Bukan itu sahaja, penggantian perkakasan seperti cermin, cermin sisi, bampar atau lampu belakang juga boleh dilakukan.
Sepuluh buah Sprinter telah diserahkan kepada rakan kongsi penyelenggaran Mercedes-Benz terpilih di Jerman dan model elektrik eSprinter akan digunakan pada masa depan.
Van itu dilengkapi dilengkapi pelbagai peralatan penyelenggaraan dan diagnostik terkini dan semestinya alat ganti tulen.
Tidak hanya van biasa, khidmat yang ditawarkan juga merangkumi Mercedes-Benz dengan motor elektrik.
Satu alatan menarik ialah sistem jek yang baru dibangunkan dan membolehkan kenderaan dengan berat sehingga 5.5 tan diangkat!