
MERCEDES-BENZ VANS BAKAL LANCAR TRAK PIKAP
Menjelang akhir dekad ini, Mercedes-Benz merancang untuk meluaskan portfolio produk dengan memperkenalkan trak pikap pertamanya.
“Trak pikap Mercedes-Benz akan menyumbang kepada sasaran pertumbuhan global kami. Ia bakal dilengkapi aspek keselamatan, keselesaan, prestasi dan nilai sebuah Mercedes-Benz,” kata Pengerusi Lembaga Pengurusan Daimler AG dan Ketua Divisyen Kereta Mercedes-Benz, Dr. Dieter Zetsche.
Ketua Mercedes-Benz Vans, Volker Mornhinweg memberitahu, sebagai sebahagian daripada strategi global Mercedes-Benz Vans, pikap dilihat sebagai kenderaan yang ideal untuk mengembangkan rangkaian produknya di peringkat antarabangsa.
Mercedes-Benz Vans merupakan divisyen yang bertanggungjawab membangunkan kenderaan-kenderaan baharu. Model-model seperti V-Class dan Vito membuktikan keupayaannya dalam menghasilkan kenderaan komersial atau untuk kegunaan peribadi.
Trak pikap premium ini bakal diperkenalkan ke pasaran Latin Amerika, Afrika Selatan, Australia dan Eropah.





