Buletin

MG 07 RASMI DI PASARAN CHINA DENGAN JARAK PEMANDUAN SEHINGGA 1,745KM

MG secara rasmi memperkenalkan sedan segmen pertengahan terbaharunya, MG 07, pada Chengdu Autoshow 2026 di China.

Model baharu itu ditawarkan dalam tujuh varian merangkumi versi elektrik sepenuhnya (EV) dan hibrid plug-in (PHEV), dengan harga antara 108,900 yuan hingga 159,900 yuan (kira-kira RM69,000 hingga RM101,000).

Bagi varian EV yang mula dibuka untuk tempahan pada Julai lalu, penghantaran bagi model dengan jarak pemanduan sehingga 650 kilometer dijadualkan bermula penghujung Ogos, manakala versi 845 kilometer akan mula diserahkan kepada pelanggan pada Oktober.

Dari segi reka bentuk, MG 07 tampil dengan identiti moden menerusi lampu hadapan unik yang digabungkan dengan jalur lampu penuh di bahagian hadapan. Bonet jenis clamshell yang dibentuk daripada satu kepingan logam turut menempatkan ruang simpanan hadapan berkapasiti 168 liter.

Dimensinya berukuran 4,886mm panjang, 1,900mm lebar dan 1,478mm tinggi, manakala jarak roda mencapai 2,825mm.

Penampilan sporty turut diserlahkan melalui pemegang pintu separa tersembunyi, pintu tanpa bingkai, rim dua tona serta angkup brek berwarna kuning. Di belakang, sedan ini dilengkapi lampu belakang penuh serta spoiler elektrik boleh laras lima peringkat.

Pembeli boleh memilih daripada enam pilihan warna badan iaitu Morello Purple, Notting Grey, Oxford Blue, Milia Pink, California Blue dan Salt Lake White.

Teknologi bantuan pemanduan MG 07 turut dipertingkatkan menerusi penggunaan sensor LiDAR yang dipadankan dengan sistem pintar Momenta R7 serta cip pemprosesan khas yang dibangunkan sendiri oleh syarikat.

Ruang kabin direka dengan konsep kokpit mengelilingi pemandu, lengkap dengan panel instrumen digital sepenuhnya dan skrin infotainmen terapung bersaiz 15.6-inci. Sistem ini dijana oleh cip kokpit Qualcomm 8295P bersama sistem operasi Inspiration OS.

Antara ciri keselesaan yang ditawarkan termasuk:

   Tempat duduk pemandu dengan pelarasan automatik, pemanas dan pengudaraan
• Tempat duduk penumpang hadapan jenis “Queen” dengan fungsi sifar graviti
• Bumbung panoramik EC dengan kawalan kegelapan elektronik
• Pemanas dan pengudaraan untuk tempat duduk belakang
• Cermin solek pelbagai fungsi
• Sistem audio 21 pembesar suara
• Suspensi elektromagnet aktif mCDC

Bahagian dalaman pula ditawarkan dalam dua pilihan tema warna iaitu White Violet dan Royal Blue.

Untuk versi EV, MG 07 dibangunkan berasaskan platform 800V dan menggunakan motor elektrik magnet kekal yang memacu roda hadapan.

Bergantung kepada varian, kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 176kW (236hp) atau 235kW (315hp), manakala tork maksimum masing-masing mencecah 300Nm dan 350Nm.

Dua pilihan bateri ditawarkan iaitu 67kWh dan 91kWh, membolehkan jarak pemanduan sejauh 610 km, 650 km atau sehingga 845 km mengikut piawaian CLTC.

Sementara itu, versi PHEV menggabungkan enjin petrol 1.5 liter berkuasa 82kW (110hp) dengan motor elektrik berkuasa 152kW (204hp).

Model ini mampu bergerak sejauh 245 km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, selain mencatat penggunaan bahan api serendah 2.91 liter bagi setiap 100 km apabila bateri kehabisan tenaga.

Dengan tangki minyak dan bateri yang diisi penuh, MG mendakwa MG 07 PHEV mampu mencapai jarak perjalanan gabungan sehingga 1,745 km mengikut kitaran CLTC.

Menariknya, dua varian EV dengan jarak pemanduan 610 km menggunakan bateri separa pepejal (semi-solid state) keluaran Qingtao, manakala semua varian lain termasuk EV dan PHEV menggunakan pek bateri daripada CATL.

Google ads
Back to top button