Buletin

MINI CLUBMAN STERLING EDITION KINI KEMBALI – TERHAD 40 UNIT SAHAJA, RM268,888

MINI Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa ia kembali menawarkan MINI Clubman Sterling Edition baharu.

Dengan hanya 40 unit ditawarkan, ia boleh ditempah secara eksklusif di mini.my/clubman-sterling mulai 11 Januari 2018.

“Ini merupakan kali pertama dalam industri automotif Malaysia kami memperkenalkan MINI Clubman Sterling Edition eksklusif secara dalam talian. Kami berbesar hati untuk melihat semua 20 unit unit berjaya diserahkan kepada pelangan.

“Dalam tempoh kurang dua minggu sejak diperkenalkan, MINI edisi terhad ni habis ditempah di atas talian. Disebabkan maklum balas itu, MINI Clubman Sterling Edition baharu akan kembali bagi menyambut kehadiran Tahun Baru bersama teknologi dan pengalaman yang lebih unik,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun.

Sebaik sahaja jualannya dibuka, para pelanggan perlu meneliti masa yang terbaik untuk menempah MINI Clubman Sterling Edition baharu mereka. Ini boleh dilakukan dengan mengisi borang dan membuat pembayaran di laman web tersebut pada masa yang tepat.

MINI Clubman Sterling Edition diserlahkan menerusi badan berwarna perak (Melting Silver) dengan perumah cermin sisi dan bumbung berwarna hitam matte (Matte Black Jack). Penampilan itu disempurnakan lagi dengan simbol Black Union pada bahagian sisi serta rim MINI Yours Masterpiece bersaiz 18” yang didatangkan dalam warna hitam.

Ruang kabin menggunakan kombinasi tona biru dan merah hati. Ambien premium ini ditingkatkan lagi dengan dengan keupayaan untuk memilih 12 warna yang telah ditetapkan ke atas kemasan dalaman, ia pasti menepati apa jua mood pemandu dan penumpang.

Pengalaman eksklusif dimaksimumkan lagi menerusi sistem Navigasi MINI pada skrin beresolusi tinggi bersaiz 6.5 inci. Ia mudah dioperasi melalui MINI Controller. Sementara fungsi Parking Assist membantu memarkir kereta ke ruang selari secara automatik.

Para pemilik juga dapat menggunakan sistem infotaimen canggih MINI Connected yang menawarkan penstriman lebih 30 juta lagu secara langsung. LCD beresolusi tinggi bersaiz 6.5” menyediakan antara muka Spotify, di samping bacaan maklumat standard seperti penggunaan bahan api semasa, jarak bahan api dan lokasi terakhir. Maklumat tersebut juga boleh dilihat menggunakan aplikasi MINI Connected.

MINI Clubman Sterling Edition dilindungi oleh progam bantuan tepi jalan (Roadside Assistance) MINI selama 5 tahun.

Ditawarkan kepada semua kenderaan baharu MINI, ia melibatkan pelbagai perkhidmatan seperti On the Spot Hotline, bantuan telefon dan kemalangan 24 jam, 365 hari setahun, perkhidmatan menunda percuma serta jika perlu (lebih 200km dari rumah kediaman), penggantian kenderaan, penginapan, penyelesaian perkhidmatan mobiliti dan servis penghantaran pulang.

Program MINI Roadside Assistance bolek diakses dengan menghubungi talian 1800-88-8808.

MINI Clubman Sterling Edition baharu hadir bersama jaminan selama 4 tahun tanpa had perbatuan dan servis berjadual percuma. Harga anggaran (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans) ialah RM268,888 seunit.

Google ads
Back to top button