Buletin

MINI EV CHERY QQ ICE CREAM. 3 VARIAN, BERMULA RM19.8K SAHAJA DI CHINA

Dengan jualan model EV mini seperti Wuling Hongguang daripada SAIC-GM semakin popular, semakin banyak pengeluar kenderaan mula ingin turut serta dalam pasaran tersebut.

Dikenali sebagai model A00 mini EV, ia merupakan jentera kecil dengan tapak roda sekitar 2 hingga 2.2 meter sahaja dan panjang badan sekitar 4,000mm. Terbaharu, Chery QQ dijangka memperkenalkan mini EV mereka iaitu Chery QQ Ice Cream di Anhui China pada 28 Disember depan.

Sekali pandang, kedua-dua model itu memang ada banyak persamaan. Ia memang comel dan hadir dalam pelbagai warna terang yang menarik dengan bumbung berwarna hitam.

Hadir dengan tiga pintu dan empat tempat duduk, gril hadapan Ice Cream dilengkapi sepasang lampu utama LED dengan rekaan seperti mata. Logo itu boleh dibuka untuk tujuan mengecas.

Jentera itu bakal ditawarkan dalam tiga varian iaitu Pudding, Cone dan Sundae. Harganya pula bermula 29,900 yuan (RM19,800) sehingga 43,900 (RM29,000) seunit.

Ice Cream menggunakan khidmat sebuah motor elektrik berkuasa 20kW (27.2PS) dan tork 85Nm. Mampu memecut sehingga 100km/j, ia menawarkan jarak perjalanan sejauh 120 hingga 170km dengan sekali caj.

Menurut data yang dikongsi, jualan kenderaan dengan tenaga baharu di China dari Januari hingga September 2021 mencecah 1.81 juta. Ini merupakan peningkatan sebanyak 203 peratus dari tahun ke tahun.

Angka jualan kenderaan segmen itu diramal mencapai 3.3 juta pada tahun ini. Secara relatifnya, jualan mini EV seperti Wuling Hongguang dan Ice Cream juga naik sebanyak 33 peratus.

Apa yang pasti, persaingan dalam pasaran itu akan menjadi semakin sengit. Ia cukup diminati oleh pembeli kereta pertama atau dijadikan sebagai kereta kedua sesebuah keluarga.  

Dengan permintaan terhadap kenderaan untuk jarak dekat kian meningkat, tidak mustahil Ice Cream akan mendapat sambutan hangat.

Google ads
Back to top button