Artikel Pilihan

PERCUBAAN KERETA SPORT CHERY-PININFARINA YANG TIDAK MENJADI

Pengeluar kereta dari China, Chery sebenarnya pernah cuba untuk mengeluarkan untuk mengeluarkan sebuah model sport yang kenali dengan nama M14. Ia merupakan sebuah model coupe cabriolet yang telah direka oleh syarikat rekaan terkenal Itali, Pininfarina. Walaupun cantik menawan sayangnya ia tidak jadi dikeluarkan. Kenapa? Teruskan membaca.

Kisah M14 bermula pada tahun 2001 bila Chery memutuskan yang mereka mahukan sebuah kereta sport domestik tetapi dengan kualiti antarabangsa. Untuk memenuhi hasrat tersebut mereka telah berkelana ke Itali untuk bertemu dengan pakar rekabentuk kenderaan, Pininfarina.

Setelah berbincang panjang lebar, Pininfarina telah melakar rekaan sebuah model coupe cabriolet 4-tempat duduk yang kelihatan sungguh menawan. Lakaran awal memang sedikit serabai mungkin sebab Chery masa itu memang kurang dikenali ramai dan mungkin juga pereka muda yang baru setahun jagung diberikan tugasan tersebut.

Lakaran seterusnya kelihatan semakin matang walaupun kelihatan sedikit pelik pada bahagian hadapan. Projek itu bagaimanapun diteruskan walaupun dengan kemajuan yang sangat perlahan.

Pada 2003, Pininfarina menunjukkan dua model kepada Chery, satu dalam versi coupe dan satu lagi dalam versi cabriolet. Model ini memang menarik dengan garisan badan yang dinamik dari pembuka pintu sehingga ke lampu belakang.

Pininfarina turut menyediakan model ruang dalaman yang kelihatan cukup sporty dengan tiga meter besar pada bahagian hadapan pemandu, roda stereng ala perlumbaan, gear manual dan skrin kecil di antara dua ruang penyaman udara tengah. Terdapat tiga pilihan warna untuk bahagian dalaman seperti beige, merah ataupun putih.

Model sebenar telah disiapkan pada 2004 dengan bumbung CC yang berfungsi, warna merah ceri, rim berkilat dan bahagian dalaman berwarna dark grey dengan tempat duduk 2+2. Ia menjadi model kebanggaan Chery dan Pininfarina tetapi pengeluarannya dijadualkan hanya setahun kemudian sebelum dipasarkan di China.

Ia memang muncul pada Shanghai Auto Show 2005 dan menjadi tumpuan ramai dengan model yang tinggi lampai mengiringinya di atas pentas (masa tu showgirl masih popular lagi). Berdasarkan maklumat brosur yang di edarkan ketika itu, M14 menggunakan enjin Chery Power 2.0-liter turbo dengan 193 hp kuasa dan 290 Nm tork. Transmisinya tidak dijelaskan tetapi kemungkinan ianya unit manual ataupun CVT.

BACA: CHERY EASTAR – MANA MENGHILANG?

Bila tiba peringkat pengeluaran, sebuah unit ujian telah ditemui pada 2007 iaitu dua tahun selepas model konsep diperkenalkan. Dikatakan terdapat masalah timbul pada bumbung convertible kereta ini. Bukan masalah kecil kerana ia telah mengakibatkan projek ini dihentikan pada penghujung 2007. Bagaimanapun penyelesaiannya telah muncul pada tahun berikutnya dan program ini diteruskan.

Pada masa itu juga versi produksi rupa-rupanya akan diasaskan menggunakan platform Chery A3, sebuah kereta ekonomi yang boleh didapati dalam varian sedan dan hatchback. Chery mengumumkan namanya pada tahun 2009 – Chery A3 CC.

Model ujian kelihatan hampir sama dengan model konsep menandakan yang program pembangunannya hampir selesai. Kereta ini juga ditemui diuji di banyak tempat sekitar tanah besar China.

Sehinggalah tahun 2010, tiada apa-apa berita tentang Chery A3 CC kecuali satu laporan oleh media China menyatakan yang kereta tersebut sekali lagi mempunyai masalah pada bumbungnya. Walaupun tiada pengumuman rasmi dari Chery jelas sekali yang mereka memang tidak menghasilkannya.

Model CC yang cantik ini tidak pernah dikeluarkan tanpa sebab yang diberikan. Mungkin Chery melihat pada pasaran Geely Meirenbao, Brilliance Coupe dan BYD 88 yang memang lembap. Dengan kata lain pasaran untuk model CC buatan China dengan bumbung bermasalah memang tiada harapan. Jadi ia mungkin keputusan terbaik untuk M14 ini. Siapa nak rugi kan?

Sumber ChinaCarHistory.com

 

Google ads
Back to top button