Buletin

MIROS TERIMA SYM VF3i 185 LE. JALANKAN PENYELIDIKAN TEKNOLOGI ABS UNTUK KAPCAI

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah menerima sumbangan sebuah motosikal SYM model VF3i 185 LE daripada Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. bagi tujuan penyelidikan dalam usaha meningkatkan keselamatan penunggang motosikal di Malaysia.

Melalui sumbangan ini, MIROS dan Mforce akan menjalankan kolaborasi penyelidikan bagi meningkatkan ciri-ciri termaju untuk motosikal, khususnya teknologi brek Anti-Lock Braking System (ABS).

ABS merupakan sistem brek yang berfungsi mengelakkan roda daripada terkunci,  menyebabkan motosikal tergelincir dan biasanya jatuh.

ABS sudah menjadi ciri biasa dalam industri automotif sejak sekian lama, namun teknologi ini masih baharu dalam segmen motosikal berkuasa rendah di Malaysia.

Dengan adanya SYM model VF3i 185 LE, MIROS dapat menjalankan kajian keberkesanan ABS pada motosikal berkuasa rendah.

MIROS juga akan menjalankan kajian mengenai reaksi penunggang motosikal semasa berhadapan dengan situasi kecemasan. Maklum balas itu merupakan salah satu cara untuk mengetahui tahap kecekapan penunggang mengendalikan motosikal.

Motosikal itu juga akan digunakan untuk latihan tunggangan defensif dalam Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP).

Kolaborasi penyelidikan antara MIROS dan Mforce diharap akan dapat diteruskan bagi memenuhi keperluan pengguna jalan raya. Selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2021-2030 ke arah menghasilkan kenderaan yang lebih selamat bagi pengguna jalan raya.

Google ads
Back to top button