,
Buletin

MODEL KONSEP HONDA URBAN EV – CIVIC ‘SABUT’ KEMBALI KE MASA HADAPAN

Kenderaan yang mencuri perhatian di Frankfurt Motor Show biasanya ialah kereta-kereta dari pengeluar Eropah. Bagaimanapun rasanya Honda akan berjaya mencuri sedikit perhatian dengan model kecil menawan yang dinamakan Honda Urban EV Concept.

Ia merupakan sebuah model hatchback EV yang menggunakan kembali rekabentuk model retro mereka yang lebih kita kenali dengan nama Civic ‘Sabut’. Tapi jangan pandang rendah kerana kini ia dibekalkan dengan sentuhan teknologi terkini.

BACA: HONDA CIVIC MUGEN RR INI UNTUK DIJUAL , MILEAGE HANYA 53K DAN IA “CUMA” RM185K

Walaupun kelihatan memang seperti Civic Sabut dari tahun 70-an, tetapi kereta ini memang sebuah kereta EV sepenuhnya. Spesifikasi penuhnya belum lagi didedahkan tetapi ia memang akan dilengkapkan dengan sistem Power Manager Concept terbaru yang direka untuk menyimpan bekalan tenaga dengan lebih efisyen dan melepaskan tenaga elektrik menggunakan sumber boleh diperbaharui kembali ke rumah anda ataupun menjualnya kembali kepada syarikat pembekal elektrik di tempat anda.

Secara keseluruhan ia adalah empat inci lebih pendek berbanding dengan Honda Jazz dan ia juga mempunyai empat tempat duduk dengan kemasukan ke dalam kabin menerusi pintu ‘suicide’ seperti yang terdapat pada kereta-kereta Rolls-Royce (buka ke hadapan).

Bahagian dalamannya terdiri daripada dua tempat duduk berbentuk bangku dan diberi kemasan daripada fabrik dan elemen kayu lengkap dengan skrin infotainment bersaiz besar. Malah pemandu kereta ini boleh memberikan mesej kepada pemandu lain dengan unit paparan luar yang terdapat di hadapan (bahagian gril kereta biasa). Tak payah main angkat-angkat lampu lagi (hi-beam).

Paling menarik tentang model Urban EV Concept ini ialah ia sudah bersedia untuk memasuki fasa pengeluaran (dengan beberapa perubahan dalam masa beberapa tahun akan datang). Malah menurut CEO Honda, Takahiro Hachigo sewaktu memperkenalkan model konsep ini, “Projek ini bukannya hanya satu visi untuk masa akan datang tetapi versi produksi akan mula berada di Eropah pada tahun 2019.” Tak lama lagi bukan?

GALERI:

Tags
Google ads
Back to top button