Buletin

MODIFIKASI DAN AKSESORI KELAKAR YANG WAJIB ANDA TENGOK

Selepas kereta penumpang mula diproduksikan secara besar-besaran seawal abad ke-20, industri peralatan aftermarket dan aksesori tambahan mula berkembang pesat. Saban hari ada sahaja aksesori yang diperkenalkan untuk peminat-peminat kereta menambah baik rupa paras dan prestasi kereta mereka. Yanag menambah buruk pun ada juga. Malah pada tahun 2016 sahaja, dianggarkan urusniaga peralatan aftermarket sahaja bernilai sekitar USD100 billion!

Apa sahaja yang anda pasang pada kereta anda selepas ia keluar dari kilang dikira sebagai peralatan aftermarket. Sama seperti barangan lain, ada peralatan yang berjenama dan berkualiti dan begitu juga sebaliknya. Ada yang berguna dan ada juga yang merapu lagi merepek. Tapi korang yang terlibat jangan bimbang, mesti ada yang akan defend korang punya. Alasan paling popular semestinya “Biarlah, itukan duit dia. Bukannya dia susahkan sesiapa.”

Tapi dalam hidup ni kita memang digalakkan untuk saling menasihati ke arah kebaikan. Kalau nampak dah merepek sangat tu kita tegur. Membazir kan tak elok, baik duit tu digunakan ke arah kebaikan. Amboinya. Mari kita lihat beberapa contoh modifikasi dan aksesori merapu yang pernah wujud di dunia ini.

Nombor Pendaftaran Negara Asing

Ini memang agak kelakar. Kalau korang biasa menghadiri autoshow mesti korang perasan ada yang menggunakan nombor pendaftaran luar negara seperti Jepun. Kononnya untuk menaikkan lagi imej JDM yang ada pada sesebuah kereta. Ia juga untuk menampakkan seolah kereta mereka adalah model keluaran JDM tapi kalau dah terang-terang ianya Proton Wira, belah mana pulak JDM nya.

Performance Chips Palsu

Sejak enjin kereta dikawal dan diselia oleh unit komputer, performance chips memang menjadi sangat popular. Tapi bukan semua berfungsi seperti sepatutnya. Pastikan di mana ia disambung pada kereta anda dan adakah ia memberikan perbezaan pada prestasi. Kalau dan cucuk dekat pencucuh rokok. Prestasi apa yang naik sebenarnya?

Itu belum termasuk performance chips palsu yang dijual oleh syarikat entah apa nama dengan jaminan prestasi yang memang meragukan. Silap-silap masalah lain akan timbul kerana alat tersebut mungkin menggangu sistem ECU kenderaan yang memang cukup canggih.

Magnet Saluran Minyak

Dengan meningkatnya harga minyak dalam pasaran dunia, alat sebegini memang diminati ramai. Biasanya ia dikatakan akan menjimatkan minyak, enjin lebih lancar dan bersih. Bunyi macam indah khabar dari rupakan? Dan biasanya memang betul.

Sebenarnya banyak laman web dan majalah permotoran sudah membongkar penipuan ini. Magnet ini dikatakan akan mengubah molekul bahan api agar lebih teratur sekaligus melancarkan pembakaran. Tapi ia sebenarnya tidak akan berlaku kerana molekul bahan api tidak akan berubah walaupun selepas melalui medan magnet. Ia tidak akan mengubah apa-apa kecuali mengurangkan jumlah wang dalam poket korang.

Spoiler Saiz Kapal Layar

Tujuan asal spoiler dipasang pada sesebuah kereta ialah untuk meningkatkan downforce yang akan ‘melekatkan’ kereta korang ke permukaan jalan. Secara teorinya, lagi besar spoiler lagi banyak downforce akan dihasilkan dan ramai pemandu di luar sana memang sangat obses dengan modifikasi seperti ini.

Tapi memandangkan kereta seharian kita bukannya jentera F1 ataupun GT, spoiler gajah ini memang tidak perlu. Ini kerana kereta untuk kegunaan jalanan ini sebenarnya memang tidak cukup laju (lawak Myvi dah tak kelakar). Malah jika korang memecut selaju kelajuan cahaya hasilnya pun tak berapa berbaloi sebab biasanya korang akan bermalam di lokap.

Senang cerita, tak payah pakailah kalau setakat nak buat jemur kasut sekolah anak seminggu sekali.

Sirip dan Skup Udara Palsu

Sirip dan skup udara ni memang penting untuk menyejukkan enjin dan komponen lain seperti brek pada kereta berprestasi tinggi. Ia juga berfungsi untuk mengalirkan udara panas keluar dengan lebih cepat. Dengan kata lain ia memang mempunyai fungsi dan bukannya saja-saja dihasilkan.

Tapi lain pula halnya dengan sirip dan skup udara palsu ni. Fungsinya boleh dikatakan pelbagai. Satu daripadanya ialah membazirkan duit pemilik kereta tersebut dan satu lagi memang mengundang kutukan maut dari kominiti peminat dunia automotif. Tambahan pula kualiti skup tiruan ni memang teruk dan boleh tercabut bila-bila sahaja. Mana taknya, ia biasanya dilekatkan dengan double side tape dan bukannya seperti skup standard.

Emblem ataupun Logo Tiruan

Paling popular semestinya logo M3 dan M5 untuk BMW. Mungkin nampak cool bila digunakan tetapi boleh menjatuhkan airmuka anda di hadapan peminat-peminat kereta. kalau kita menggunakan BMW spesifikasi ekonomi dengan enjin 4-selinder, tak payah la letak lambang M3 kot. Kalau kantoi memang malu weh.

Lampu Neon

Ini merupakan peninggalan filem pertama siri Fast and Furious. Ia tidak akan membuatkan kereta anda menjadi lebih laju tapi akan membuatkan kereta anda kelihatan seperti papan tanda kelab malam. Budaya modifikasi kini sudah berubah dan ia sudah dianggap ketinggalan zaman.

Rim Oversized

Rim yang sedikit besar dari asal memang akan menyerlahkan lagi penampilan kereta anda. Tapi bila ianya bersaiz melampau, kereta anda akan menjadi semakin kurang selesa kerana ukuran tayar yang semakin nipis. Ini kerana udara di dalam tayar juga berfungsi sebagai kusyen untuk menyerap segala gegaran sewaktu anda memandu. Lagipun bila menggunakan rim dan tayar yang terlalu besar akan menyebabkan kereta anda kelihatan seperti kereta kuda zaman koboi.

Pintu ala-Lamborghini

Ini satu lagi trend yang agak popular satu ketika dahulu. Malah sekarang pun rasanya ada lagi segelintir kaki ubahsuai yang berminat dengan gaya sebegini. Ketika kemuncaknya satu ketika dulu kit aftermarket pintu ala Lambo ni menjadi pilihan abang-abang Honda sehinggalah pada satu saat Lamborghini sendiri tidak menggunakan pintu ini untuk Gallardo terbaru mereka.

Malah jika ditanya pendapat ramai pun, mereka akan bersetuju yang pintu seumpama ini hanya sesuai untuk Lamborghini Aventador dan bukannya kereta-kereta sedan dengan enjin 4-selinder.

Pelekat Kesan Tembakan Palsu

Ini memang aksesori murahan yang memang dijual di kedai basikal rasanya. Mesti pemiliknya minat sangat dengan filem gangster. Mana ada gangster bawak kereta yang penuh dengan kesan peluru bang. Semua bawak kereta kereta baru dan berkilat. Biasanya berwarna hitam. Mana ada yang bawak kereta kompak yang penuh dengan kesan tembakan.

Wisel Ekzos

Gunanya ialah untuk menghasilkan bunyi dengan pitch yang tinggi sewaktu anda memandu. Ia tidak praktikal dan tidak ada fungsi pun sebenarya selain mengundang makian umum secara berjamaah. Kalau kerajaan nak haramkan benda ni pun rasanya ramai yang tak kisah.

Pin Bonet Palsu

Kononnya untuk menonjolkan imej kereta lumba. Tapi dah jadi dua kerja pulak nak buka bonet. Mula-mula kena buka kunci bonet asal dari dalam kereta, kemudian buka pula pin bonet kiri dan kanan. Cerdik kan? Terimalah hakikat yang kereta jalanan tak perlu pun pakai benda macam ni. Bukannya banyak sangat pun penjimatan berat yang berjaya diperolehi.

Pelekat Gentian Karbon

Gentian Karbon memang material untuk zaman akan datang. Penggunaannya memang terbukti mampu mengurangkan berat yang banyak untuk sesebuah kereta dan sebab itulah ia menjadi material pilihan untuk kereta-kereta prestasi tinggi.

Tapi bila nak bergaya tanpa bajet yang besar alternatif yang ada adalah pelekat gentian karbon tiruan. Ia bukan hanya tidak cantik, tidak tahan lama dan memang akan mengundang kutukan maut. Lagi-lagi bila pemasangannya dilakukan secara cincai. Sengat sana senget sini.

Aksesori Bling-bling

Anda mungkin seorang peminat bintang rap ataupun taksub dengan gaya tokey kosmetik popular. Aksesori pilihan anda mempunyai kilauan permata palsu dari beg tangan, telefon tangan kasut dan sebagainya. Tapi bila ia dipindahkan ke kereta anda, ia memang akan membuatkan anda nampak pelik. Silap-silap nampak macam kedai emas jalan Masjid India.

Paip Ekzos dan Muffler Saiz Meriam Batang Kelapa

Ramai yang percaya dengan tahyul saiz ekzos dan muffler akan meningkatkan lagi prestasi kereta mereka. Hakikatnya selain daripada tidak perlu ia juga akan membuatkan pemandu kelihatan bodoh kerana menghasilkan bunyi yang kuat tetapi kuasa pecutan masih sama. Malah kadang-kadang lagi lembap daripada asal.

Pelekat Bumper

Kebanyakan pelekat sebenarnya memang bertujuan untuk menunjuk-nunjuk. Ingat sekitar tahun 80-an dan 90-an dulu di mana hampir semua kereta mempunyai pelekat universiti pada cermin belakang. Ye lah, zaman tu nak masuk U bukannya senang. Sekarang belum mohon surat tawaran dah sampai ke rumah. Masuk daftar cukup masa dapat diploma ataupun ijazah. Zaman Pok Ya dulu dah la nak masuk tu susah, yang dah sampai final year kena dismiss pun ada.

Satu lagi ialah pelekat nombor pendaftaran Siam. Pergi 5 tahun lepas pun stiker tu tak kopek lagi. Untuk kenangan katanya bila ditanya. Kenangan dengan gewe Siam ke?

Roll-Cage Untuk Kereta Keluarga

Ini memang win. Dah la kereta tu untuk hantar anak ke sekolah, ke pasar, hantar mak pergi hospital dan nak beraya, dipasangnya pulak roll-cage penuh mengalahkan kereta rali WRC. Terkial-kial anak nak keluar masuk sambil galas beg sekolah yang mengalahkan askar nak masuk operasi 3 bulan dalam hutan.

Itu belum termasuk bini nak pergi beraya pakai baju kebaya dengan tudung berbelit-belit, silap-silap tertomoih terus atas jalan tersangkut kaki kat roll-cage. Alahai sabar je lah wahai hati, inilah nasib bersuamikan seorang “ricer”.      

KREDIT: CARBUZZ.COM

Google ads
Back to top button