Modifikasi

TOYOTA TOURING WAGON 100% JDM!

Wagon cukup popular di negara-negara Barat seperti di Amerika dan Eropah. Malah  model seperti Volvo 245 ialah ikon kereta keluarga di sana. Bagaimanapun, wagon di rantau Asia dan Malaysia khususnya kurang popular.

Memandangkan wagon sukar di jual di Malaysia, kebanyakan pengeluar kereta tidak membawa masuk model wagon ke sini. Toyota pernah menjual Corolla Wagon hingga ke awal tahun 1980-an. Selepas model Corolla AE80, model wagon tidak lagi dijual.

Namun itu tidak bermakna Toyota langsung melupakan model wagon. Di Jepun, Corolla Wagon terus dijual. Corolla SEG ialah model Corolla yang amat popular di Malaysia. Tetapi saya rasa ramai tak tahu tentang kewujudan model wagonnya.

Corolla Touring Wagon ini milik Mohd Khyril.  Sedikit demi sedikit, kereta ini ditransformasi menjadi model Touring Wagon. Di Jepun, ia didatangkan dengan enjin 4 throttle dan bodykit yang sporty. Mendapatkan half-cut Touring Wagon agak mudah. Paling best, semua aksesori yang datang dengan half-cut boleh disalin terus ke kereta ini.

Enjin yang diguna pakai ialah enjin 4AGE four throttle 20 injap yang sememangnya sinonim dengan model ini. Enjin ini tak perlu diusik banyak sebab pemiliknya akan bawa kereta ini selalu.

Toyota-SEG-Touring-Wagon-mekanika (2)

Jadi, ubah suai enjin hanya bersifat bolt-on dengan pemasangan penapis udara ARC yang menggunakan dua chamber. Kabel palam pencucuh enjin pula diganti dengan kabel daripada Ultra. Sebuah plet penyejuk ARC ditambah ke ruang enjin.

Khyril bertuah kerana mendapat set ekzos aftermarket yang lengkap. Satu set ekzos berprestasi tinggi FGK dipasang. Bermula daripada manifold 4-2-1, paip tengah bersama resonator dan diakhiri dengan peredam bunyi berkembar. Ubah suai mudah ini tak membebankan kotak gear standard empat kelajuan yang digunakan.

Dengan enjin yang berkuasa sekitar 160hp, sistem gantungan perlu dinaik taraf. Berbeza dengan model Corolla wagon sebelumnya, model ini menggunakan sistem gantungan jenis bebas untuk roda belakang.

Ia nyata memudahkan kerja menukar penyerap hentak boleh laras Tein Flex yang diambil daripada model Levin AE101. Di bahagian depan, strut bar Cusco merentangi ruang enjin kereta.

Satu lagi perkara yang membantu mengawal kereta berenjin power macam ini ialah sistem brek. Jadi, Corolla Touring Wagon didatangkan dengan sistem brek cakera pada keempat-empat rodanya.

Set rim Work Meister S1 bersaiz 16×7 inci (depan) dan 16×8 inci di belakang digunakan. Rim original buatan Jepun ini mempunyai offset +35 yang sememangnya sesuai dengan casis Corolla ini. Ia kemudian dibalut dengan tayar bersaiz 205/45/16.

Khyril mahukan projek modifikasinya 100 peratus JDM. Maka kereta ini menggunakan aksesori JDM asli. Wagon ini dipasang dengan bampar depan rekaan Yakuza yang terkenal dengan lampu kabus berkembar (yang kemudiannya ditiru oleh Toyota Vellfire hehehe…).

Bampar belakang pun sama Yakuza. Bahagian-bahagian lain macam lampu depan, gril, skirting sisi, gugusan lampu belakang dan bonet belakang diambil daripada model Touring Wagon.

Aksesori JDM turut memenuhi ruang dalaman. Semua tempat duduk diganti dengan tempat duduk Touring Wagon. Papan pemukanya menerima satu aksesori menarik iaitu meter digital Corolla AE101 JDM yang agak sukar dijumpai.

Kalau anda perasan, jaring-jaring pada belakang kereta ini sebenarnya aksesori original Touring Wagon, termasuklah tonneau cover. Stereng asal diganti dengan stereng asli TRD dan pedal kaki kini dilapik dengan pedal Razo.

Kaau anda baru berangan nak kereta macam ni, simpan la angan-angan itu. Sebab memang susah jumpa orang nak jual kereta macam ini. Dulu pernah juga ada musim orang jual Corolla wagon. Lepas tu, semua iklan hilang dan sampai sekarang saya tak jumpa dah orang nak jual.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button