Buletin

MORRIS JE, BENTUK KLASIK MACAM BIASA NAMPAK KAN?

Dalam arena kereta klasik, Morris Minor masih kekal utuh dalam simpanan peminat sejati. Minor boleh lagi diamati dalam acara pameran kereta klasik sebaris dengan Volkswagen Beetle dan Mini Cooper.

Walaupun tiada model baharu sejak sekian lama, cap perdagangan Morris sekarang ini dimiliki oleh syarikat automotif SAIC dari China. Sebahagian kilang pengeluaran Morris di Cowley, Oxford pula dimiliki oleh BMW bagi menghasilkan model MINI.

Di sebalik populariti Minor, pengasasnya iaitu William Morris mempunyai sebuah lagi syarikat iaitu Morris Commercial. Model popular syarikat itu ialah van J-Type yang dikeluarkan dari tahun 1949 hingga 1961.

J-Type adalah kenderaan ikonik pasca perang dan sebaris dengan MINI, Morris Minor dan Land Rover Defender.

Morris Commercial sekarang adalah syarikat start-up dalam bidang kejuruteraan automotif dan pengeluaran diketuai oleh Dr Qu Li. Pada 30 Mei 2019 syarikat mengumumkan pengenalan model baharu dikenali sebagai Morris JE.

Menariknya ialah Morris JE adalah bayangan semula kepada J-Type dan ia dikuasakan nadi elektrik. Van komersial ringan (LCV) itu dipertontonkan buat kali pertama di The Design Museum, London pada 11 November 2019.

Morris JE akan mula dikeluarkan pada lewat 2021 dan ia dibina menggunakan pendekatan baharu untuk sebuah LCV yang dikuasakan bateri-elektrik.

Bateri yang digunakan ialah jenis lithium-ion yang dipasang pada casis modular dan badan yang diperbuat dari gentian karbon. Rekabentuk pula dipengaruhi kuat oleh Morris J-Type.

Casis modular itu dibuat supaya boleh digunakan pada model masa depan seperti pikap, bas mini atau van camper.

Kombinasi casis yang ringan dan canggih serta badan gentian karbon menjadikan Morris JE diantara LCE paling ringan di pasaran. 

Hasilnya boleh dilihat pada nisbah kuasa kepada berat yang membantu dalam mencapai sekitar 322 kilometer untuk cas penuh.

Rekabentuk unik dan retro JE disasarkan kepada pemilik butik kecil yang mahukan sesuatu berbeza dari kebanyakan LCV hari ini. JE juga sesuai untuk jenama mewah dan gaya hidup serta syarikat yang mahu tampil berbeza.

Di antara syarikat yang sesuai ialah dalam bidang hospitaliti, sukan dan sebagainya. Rekabentuk JE sendiri adalah satu tarikan menarik kepada bakal pelanggan jika diparkir di kawasan tumpuan ramai.

Dari segi kebolehgunaan, JE adalah LCV di dalam segmen 2.5 tan dengan keupayaan mengangkut barang sehingga satu tan. Kapasiti kargo pula ialah 5.5m³ dan setara dengan kenderaan dalam bahagian 3.5 tan.

Ruang kargo boleh memuatkan dua palet standard Euro. Akses untuk muatan barang dari pintu belakang dengan kelebaran penuh dan pintu gelungsur pada bahagian sisi.

Van komersial yang menarik ini walaubagaimanapun datang dengan harga anggaran GBP£60,000 atau bersamaan RM319,256. Angka premium itu dilihat berbaloi untuk perniagaan yang disasarkan Morris Commercial iaitu syarikat mewah dan gaya hidup.

BACA: HINDUSTAN AMBASSADOR – KERETA LAGENDA INDIA

BACA: RESEPI ORIGINAL TOYOTA COROLLA KE30

BACA: OPEL MANTA A ENJIN V6 PERDANA

Google ads
"
"
Back to top button