Artikel Pilihan

HINDUSTAN AMBASSADOR – KERETA LAGENDA INDIA

Ini adalah alkisah sebuah kereta lagenda yang pernah wujud di muka bumi India, Hindustan Ambassador. Kereta yang bukan calang-calang tentang kewujudannya.

BACA : MAHINDRA SCORPIO GENERASI BAHARU

BACA : BERITA SEDIH – TATA BATALKAN RANCANGAN KELUARKAN MODEL SPORT

Kereta yang dipasang oleh Hindustan Motors telah pun berada di pasaran India semenjak tahun 1958 lagi. Menjadi saksi jatuh bangun negara India. Walau pun model ini diasaskan daripada model Morris  Oxford Series III yang berasal daripada Britain, namun rata-rata bersetuju bahawa Ambassador ini seolah menjadi Raja Jalanan di India.

Malah berlakon dalam filem watak sampingan turut pernah menjadi bualan masyarakat dikala itu. Bila dah tak ada job berlakon, kereta ini turut pernah menggalas tanggungjawab sebagai teksi untuk membawa penumpang.

Sebabnya, sehingga ke hari ini pun model ini masih banyak yang berkeliaran di atas jalanraya. Versi terakhir model ini hanya tamat riwayatnya sekitar tahun 2014 yang lalu.

Alkisah lagenda ini bermula apabila Morris Motors telah menjual hak Morris Oxford Series III kepada Hindustan Motors. Generasi pertama adalah model rebadge sepenuhnya yang dikeluarkan pada pertengahan tahun 1957.

Ianya dipadankan dengan enjin 1489 cc, dengan kuasa setakat 55hp sahaja. Cukuplah. Laju-laju pun bukan boleh pergi mana.

Pada 1964, generasi kedua dikeluarkan dengan pengubahsuaian ringkas hanya pada gril hadapan. Lain-lain, masih sama macam yang asal. Manakala ruangan dalamnya turut mengalami beberapa perubahan kecil seperti rekaan semula papan pemuka dan juga kluster meter.

Pada 1975, muncul pula generasi ketiga model ini. Pun masih kelihatan sama walaupun perubahan hanya pada gril. Iyalah, kereta zaman itu, bukannya ada rekaan bampar pelik-pelik lagi nak bagi nampak beza.

Kemudiannya ubahlah sikit papan pemuka nak bagi nampak lain sikit. Manakala pilihan enjin 1760cc turut ditawarkan.

Dan kemudiannya pada tahun 1979, generasi keempat pula diperkenalkan dengan sekali lagi beberapa perubahan ringan. Dan kali ini, varian diesel dengan enjin 1489cc pula diperkenalkan buat pertama kali.

Setelah beberapa generasi yang masih kelihatan sama macam tak ada beza sangat pun. generasi terakhir pula muncul pada tahun 2003. Walaupun masih kelihatan sama, namun apa yang membezakan dan membaharukan ia adalah apabila keseluruhan badan kereta turut dikenakan cat termasuklah bahagian bampar. Beberapa kemasan ruang kabin turut dipertingkatkan seperti penggunaan fabrik pada tempat duduk.

Di awalnya juga hanya terdapat pilihan enjin 2.0 liter dan juga 1.8 liter. Manakala beberapa tahun kemudian pilihan enjin 1.5 turut ditawarkan.

Paling ketara adalah perubahan pada generasi terakhir ini sudah tentulah ruang dalamannya. Jelas ketara papan pemuka yang kelihatan jauh lebih muda walau pun rupa luarannya masih kelihatan old skool. Stereng pun dah gaya moden.

Produksinya kini sudah pun berakhir. Lama sungguh produksi daripada tahun 1958 sehingga ke 2014. Dan selayaknya kereta ini dinobatkan sebagai Raja Jalanan India! Syabas Bette!

 

Google ads

B K

Back to top button