Buletin

TOYOTA CAMRY KINI DENGAN AWD – SATU KERJA RUMIT!

Toyota Camry adalah model popular di Amerika Syarikat dan merupakan kereta saiz sederhana terlaris selama 17 tahun di sana. Pada masa yang sama permintaan untuk kenderaan dengan pacuan kesemua roda (AWD) semakin meningkat dan ia disumbangkan oleh populariti SUV dan crossover.

Dalam kerancakan penawaran segmen itu, pelanggan sedan bersaiz sederhana di luar kategori mewah mempunyai penawaran terhad untuk sistem pacuan AWD.

Menyedari hakikat tersebut, Toyota mengambil keputusan untuk membangunkan Camry dengan pacuan AWD. Ini adalah Camry pertama dengan pacuan AWD selepas diperkenalkan lebih tiga dekad lalu.

Camry AWD generasi pertama dikenali sebagai AllTrac dan ditawarkan dari 1988 hingga 1991.

Teknologi pacuan dikenali sebagai Dynamic Torque Control AWD akan ditawarkan pada pelbagai varian Camry iaitu Camry LE, XLE, SE dan XSE.

Satu perkara disebalik pengenalan pacuan ini ialah ianya dibangunkan sendiri di AS dan khusus untuk pasaran Amerika Utara sahaja. Ini bermakna Camry AWD tidak ditawarkan di pasaran lain termasuk negara kita.

Di pasaran sekarang terdapat pelbagai jenis teknologi AWD dan tidak semuanya sama.

Menariknya Toyota tidak perlu pergi jauh untuk membangunkan teknologi baharu kerana ia diambil dari SUV RAV4.

Sistem Dynamic Torque Control AWD yang digunakan memberikan cengkaman berkesan dalam pemanduan licin dan pada masa sama mengurangkan seretan tipikal AWD dalam penggunaan bahan api.

Sistem pacuan AWD pada Camry boleh mengagihkan sehingga 50 peratus daya kilas enjin kepada roda belakang sebagai respon kepada pecutan dari mula pandu atau gelinciran pada roda depan.

Satu lagi ciri ialah semasa pacuan AWD tidak diperlukan contohnya semasa memandu di lebuh raya jarak jauh, coupling yang dikawal oleh elektromagnetik pada gandar belakang boleh menyahaktif pemacu (propeller shaft) bagi mengutamakan penjimatan bahan api.

Sistem AWD tersebut juga direka untuk mengaktifkan semula fungsinya dengan kadar segera apabila diperlukan.

Walaupun mempunyai pertambahan komponen, ciri-ciri seperti ruang penumpang dan but, keselesaan, kesenyapan kabin dan kelincahan pemanduan menyamai Camry FWD.

Sistem pacuan ini sebenarnya turut dibolehkan apabila kedua-dua Camry dan RAV4 menggunakan platform TNGA. Platform yang sama tidak bermakna kerja kejuruteraan menjadi lebih mudah.

Bahagian kejuruteraan Toyota AS menggabungkan struktur atas Camry dengan enjin, transmisi, transfer case dan rear differential dari RAV4. Suspensi belakang multi-link RAV4 diubahsuai, ditala dan disesuaikan untuk fungsi sebuah sedan.

Kerja ubahsuai sememangnya ekstensif apabila pemacu (propeller shaft) diambil dan diubahsuai dari SUV Highlander. Penggunaan nadi kuasa AWD pada Camry turut memerlukan pengubahsuaian pada struktur lantai.

Perubahan lain ialah penggunaan parkir brek elektronik, tangki minyak bentuk pelana (saddle) berbanding jenis rata pada model FWD.

Dari segi enjin, Camry AWD dikuasakan enjin 2.5 liter DOHC empat silinder dengan padanan transmisi automatik lapan kelajuan Direct-Shift.

Kebanyakan varian Camry AWD mempunyai output kuasa 202 hp kecuali Camry XSE AWD dengan 205 hp dan ekzos berkembar.

Kerja-kerja adaptasi sistem AWD dari RAV4 nampak mudah tetapi sebenarnya agak rumit. Toyota tetap membuatnya demi pengguna dan ia boleh dilakukan kerana permintaan terhadap Camry yang baik di Amerika Syarikat.

BACA: TOYOTA GR SUPRA WASABI – WARNA HIJAU PUN LAWA

BACA: 3S-GE. KEJURUTERAAN JITU TOYOTA DAN YAMAHA

BACA: APA YANG ANDA NAK TAHU TENTANG TOYOTA ALTEZZA?

Google ads
Back to top button