
MOSTI LANCAR NAVi DAN NAVi-D. EVOLUSI ERA AUTONOMI NEGARA
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensi NanoMalaysia Berhad (NMB) melancarkan Inisiatif Kenderaan Autonomi NanoMalaysia (NAVi) serta Robot Penghantaran Berautonomi NanoMalaysia (NAVi Delivery atau NAVi-D).
Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata NAVi merupakan persediaan untuk sektor pengangkutan dan automotif Malaysia memasuki era autonomi.
Beliau memberitahu inisiatif tersebut adalah untuk menghasilkan kenderaan autonomi tahap empat di Malaysia, iaitu kereta yang boleh berjalan sendiri dalam kawasan tertentu dan selamat.
“Teknologi autonomi NAVi boleh digunapakai di mana-mana medium yang dikehendaki. Sebagai contoh, kenderaan persendirian, kenderaan penghantaran barang dan juga kargo.
“Dalam pada itu, NAVi-D merupakan evolusi daripada NAVi yang memberi tumpuan khusus kepada perkhidmatan penghantaran bungkusan dan produk makanan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Inisiatif Kenderaan Autonomi NanoMalaysia (NAVi) serta Robot Penghantaran Berautonomi NanoMalaysia (NAVi Delivery atau NAVi-D).
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad.

Beliau menjelaskan NAVi-D adalah solusi penghantaran autonomi darat malah saiz NAVi-D ini boleh diubah bergantung kepada keperluan end-user.
Katanya, jika ingin membuat perbandingan dengan dron, perbezaan utama adalah NAVi-D boleh diprogram untuk membuat penghantaran makanan daripada kedai makan sehingga ke pengguna.
“MOSTI percaya untuk pembangunan masa hadapan, gabungan kedua-dua teknologi dron udara dan robot penghantaran berautonomi darat iaitu NAVi-D boleh memberikan penyelesaian komprehensif untuk last-mile delivery,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Rezal Khairi berkata sektor pengangkutan penumpang akan menjadi matlamat jangka sederhana hingga jangka panjang bagi semua pihak serta penggunaan NAVi secara komersial bagi sektor ini adalah usaha yang bijak.
“NAVi akan mewujudkan sistem penghantaran yang lancar dengan kadar kemalangan minimum akibat kesilapan manusia, menjimatkan masa serta penghantaran lebih baik dan cekap,” katanya.
NAVi kini sedang menjalani fasa ujian di Taman Teknologi Malaysia (TPM), Bukit Jalil.
Laluan jalan raya sepanjang 12km dalam Fasa 1 hingga 3 TPM dijadualkan akan menjadi laluan yang diluluskan untuk AV di bawah rangka kerja makmal amali Hab Inovasi Antarabangsa TPM.
TPM akan menjadi tapak utama kemudahan ujian untuk teknologi kenderaan autonomi.
- BACA: NMB DEDAH HyPER, JENTERA LUMBA KUASA HIDROGEN BUATAN MALAYSIA
- BACA: NANOMALAYSIA TERAJUI PEMBANGUNAN DAN PENGKORMERSIALAN SISTEM PENYIMPANAN TENAGA
- BACA: TRUMP BERI PENGAMPUNAN KEPADA PENCURI RAHSIA TEKNOLOGI KENDERAAN AUTONOMI WAYMO
- BACA: BMW PILIH JALAN MENYERAMKAN UNTUK MEMPROMOSI PEMANDUAN AUTONOMI (+VIDEO)