Buletin

TRUMP BERI PENGAMPUNAN KEPADA PENCURI RAHSIA TEKNOLOGI KENDERAAN AUTONOMI WAYMO

Dalam beberapa jam terakhirnya sebagai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi pengampunan kepada 73 orang pesalah dan meringankan hukuman ke atas 70 yang lain.

Ini merupakan tradisi biasa yang dilakukan oleh Presiden AS sebelum digantikan dengan calon lain.  

Antara individu yang mendapat pengampunan itu ialah Steve Bannon yang tidak mengaku menipu para penderma. Selain bekas pengumpul dana Trump, Elliot Broidy serta rapper Lil Wayne dan Kodak Black yang didakwa atas dakwaan memiliki senjata.

Apa yang menarik, pengampunan presiden itu turut diberikan kepada bekas jurutera Google dan Uber, Anthony Levandowski. Pada musim bunga tahun lalu, Levandowski mengaku salah kerana mencuri rahsia teknologi autonomi daripada divisyen Google yang dibentuk menjadi Waymo.

Dia kemudian mengasaskan syarikat trak Otto dan menjualnya kepada Uber. Pada Ogos 2020, Levandowski dijatuhi hukuman penjara 18 bulan tetapi tidak ditahan kerana pandemik COVID-19.

Kini, dia tidak perlu risau lagi untuk dipenjara kerana sudah mendapat pengampunan daripada Trump. Menurut Rumah Putih, Levandowski telah menerima hukuman yang setimpal dan dia mahu menggunakan bakatnya untuk manfaat umum.

Waymo bagaimanapun enggan memberi komen. Terdahulu, unit milik Alphabet Inc itu menyifatkan jenayah Levandowski sebagai satu pengkhianatan dan hukuman yang diterima sebagai kemenangan kepada undang-undang rahsia perdagangan.  

Bekas jurutera Google tersebut dilapor telah memindahkan lebih 14,000 fail ke dalam komputer riba peribadi sebelum berhenti kerja. Fail itu melibatkan jadual pembangunan dan reka bentuk produk.

Semua ini dilakukannya ketika sedang berunding dengan Uber. Waymo dikatakan melakukan apa sahaja yang termampu untuk mengelakkan dokumen tersebut dibawa keluar.  

Akhirnya, Uber perlu membayar penyelesaian berjumlah AS$245 juta (RM991juta) kepada Alphabet Inc.

Google ads
Back to top button