Artikel Pilihan

BMW PILIH JALAN MENYERAMKAN UNTUK MEMPROMOSI PEMANDUAN AUTONOMI (+VIDEO)

BMW sedang berusaha keras untuk membangunkan sistem pemanduan autonomi termaju untuk kereta-kereta keluaran mereka. Satu cara yang dipilih mereka untuk menyampaikan mesej ini kepada dunia ialah dengan mengeluarkan satu klip video pendek bertemakan filem seram Pontinak Harum Sundal Malam Jumaat. Okey tajuk filem tu kami tipu tapi ia memang dari filem seram.

Klip video tersebut memaparkan sebuah BMW 7-Series terbaru yang sedang diuji menggunakan sistem pemanduan autonomi di dalam hutan yang gelap gelita dan tiba-tiba terpaksa berhenti kerana dihalang oleh makhluk menakutkan yang kelihatan seperti Hantu Kak Limah versi Jerman.

Jelmaan wanita tersebut menghampiri BMW itu kononnya untuk menakutkan pemandu dan penumpang yang berada di dalam tetapi tiba-tiba beliau ‘terkamjat’ dan berdesup melarikan diri dalam kepekatan malam bila didapati tidak ada seorang pun manusia di dalam. Ya, ini sebuah kereta pemanduan autonomi tapi puaka tu bukannya pembaca setia Mekanika jadi dia mana tahu pasal teknologi baru ni. Agaknya masa dia mati dulu kereta yang ada pun hanya Ford Model T. Kah kah kah.

Dalam pada itu, BMW turut mengumumkan tentang platform BMW Group High Performance D3. D3 bermaksud Data-Driven Development dan merupakan teras utama syarikat yang percaya dengan kepentingan pengumpulan data untuk menganalisa situasi trafik dan pelbagai kemungkinan dan kesukaran yang bakal dihadapi jika kenderaan berautonomi diperkenalkan.

Matlamat BMW ialah untuk mengumpulkan data perjalanan kenderaan ujian mereka sejauh 5 juta kilometer. Dari jumlah tersebut, 2 juta kilometer data akan diambil dan diproses untuk mencipta senario dan faktor persekitaran bagi memahami keperluan  dan fungsi yang paling sesuai untuk kenderaan berautonomi.  

BMW kini sedang menguji hampir 80 buah model 7-Series  di A.S, Jerman, Israel dan China untuk pengumpulan data. Menjelang akhir tahun ini mereka berhasrat menambah jumlah kenderaan ujian itu kepada 140 buah.

Google ads
Back to top button