Buletin

NMB DEDAH HyPER, JENTERA LUMBA KUASA HIDROGEN BUATAN MALAYSIA

NanoMalaysia Berhad (NMB) mendedahkan kenderaan elektrik tenaga sel pertama untuk kegunaan industri permotoran di negara yang dikenali sebagai HyPER.

Jentera HyPER itu dibangunkan menggunakan kereta lumba klasik kit car Super 7.

Ia dijana kuasa Sistem Tenaga Hidrogen dan Hibrid NanoMalaysia (H2SS) yang berpotensi memacu sektor automotif dan pengangkutan negara dalam menuju ke arah industri tenaga boleh diperbaharui khususnya tenaga hidrogen hijau.

H2SS merupakan gabungan sistem penyimpanan tenaga hibrid dipadankan bateri lithium ion (Li-Ion) dan ultrakapasitor berasaskan graphene serta susunan sel bahan api dipadankan sistem penjanaan hidrogen.

Penggunaan penjanaan hidrogen di dalam sistem H2SS membolehkan ketumpatan kuasa lebih tinggi dan pengecasan pantas berbandinh kenderaan berasaskan Li-Ion konvensional.

HyPER mampu memecut pada kelajuan maksimum mencecah 200km/j.

Jentera itu mengambil masa selama tiga hari untuk dibikin dengan memindahkan enjin asal kepada penggunaaan kuasa hidrogen.

Bagaimanapun, penggunaan kuasa hidrogen masih dalam peringkat ujian untuk memastikan ia dapat beroperasi dengan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata HyPER bertujuan menjadi platform pengesahan sistem storan tenaga boleh diperbaharui dan aplikasinya untuk industri automotif.

“Kami menjangkakan ujian menyeluruh akan dilakukan pada tahun hadapan dengan disertai para peserta industri berpotensi supaya dapat menembusi sektor automotif dengan pantas.

“Malaysia akan serta merta memiliki kelebihan dalam bentuk teknologi hidrogen dan bateri penghasilan tempatan serta ultrakapasitor pelaburan syarikat pelaburan pautan kerajaan untuk menjadi pemangkin pertumbuhan industri automotif dan pengangkutan hijau serta baharu tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Pelancaran Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) dan Demonstarasi Kereta Lumba Elektrik Berkuasa Hidrogen (HyPER) di Aylezo Speedway, Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Google ads
Back to top button