Motosikal

NMB, ECLIMO LANCAR E-MOTOSIKAL ES-11. RM14,000 SEUNIT

NanoMalaysia Bhd. (NMB) dan Eclimo Sdn. Bhd. melancarkan motosikal elektrik dengan sistem pemantauan bateri (BMS) berstruktur nano yang dikenali sebagai ES-11.

Motosikal elektrik ES-11 dijual pada harga RM14,000 itu kini ditawarkan menerusi model perniagaan pajakan dan berasaskan langganan di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

ES-11 memiliki sistem pengecasan soket palam 3-pin yang mampu menyelesaikan masalah sering dihadapi kenderaan elektrik (EV) susulan kekurangan infrastruktur dan stesen pengecas.

Ia mendapat khidmat sel bateri litium-Ion berasaskan nano malah memiliki kitaran hayat sebanyak 1,000 cas.

Setiap pengecasan penuh mampu menggerakkan ES-11 sehingga mencecah 100 kilometer (km).

Selain itu, ES-11 turut dilengkapi  BMS yang merupakan sistem berupaya memantau hayat bateri, menghantar amaran apabila voltan menurun serta hadir dengan sistem pengesanan geografi yang boleh dikawal menerusi aplikasi mudah alih.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba, berkata pelancaran ES-11 mencerminkan komitmen kementerian itu untuk memenuhi aspirasi negara neutral karbon menjelang 2050, negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi sejajar dengan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

“MOSTI juga mempergiatkan usaha dalam mengambil bahagian dalam industri EV yang berbilion dolar di mana terdapat peluang yang luas untuk membantu ekonomi pulih selepas wabak.

“Pembentangan Bajet 2022 adalah penting dalam kemajuan industri EV dan tepat pada masanya untuk pelancaran kami hari ini. Kerajaan komited dalam menyokong industri EV dengan cadangan supaya EV dikecualikan sepenuhnya daripada duti import, duti eksais dan cukai jualan,” katanya ketika melancarkan Eclimo ES-11.

Hadir sama ialah, Pengerusi NMB, Tan Sri Dr Mohd Nor Azman Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr Rezal Khairi Ahmad; Pengerusi Eclimo, Tan Sri Dr Halim Mohammad; dan Pengasas serta Pengarah Eksekutif Eclimo, Datuk Dennis Chuah.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Eclimo, Datuk Dennis Chuah berkata ES-11, yang berharga RM14,000, telah menjana nilai jualan lebih RM18 juta setakat ini.

“Pasaran e-motosikal menyaksikan trend yang semakin meningkat di seluruh dunia dan kami mahu turut serta dalam ‘gelombang’ itu.

“Ini telah menghidupkan semula tumpuan dan komitmen kami terhadap inovasi teknologi hijau dan mengurangkan jejak karbon,” katanya.

Chuah berkata Eclimo juga berada di Thailand, dan ia akan memanfaatkannya untuk ES-11 berkembang ke pasaran serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif NMB Dr Rezal Khairi Ahmad berkata aplikasi nanoteknologi dalam sektor pengangkutan telah menjadi kenyataan dengan pembangunan ES-11 sebagai kes penggunaan dan yang pertama menunjukkan kejayaan di Malaysia.

“Pasaran kenderaan dua roda mempunyai potensi yang sangat besar kerana ia menawarkan keterangkuman mobiliti elektrik yang lebih besar dalam kalangan demografi rakyat melalui kemampuan yang ketara.

“Adalah penting untuk kami membangunkan kes penggunaan dengan jayanya di Malaysia sebagai platform untuk pengembangan serantau dan global,” katanya.

Rezal berkata ini akan membolehkan NMB menunjukkan faedah yang diperoleh apabila menggunakan teknologi nano, dalam kes ini, Internet Pelbagai Nano (Internet of Nano Things) dan bateri berstruktur nano untuk membangunkan industri pengangkutan elektrik dan mobiliti kepada pelabur.

“Adalah menarik untuk mengambil perhatian bahawa sistem storan tenaga di sini boleh dipindahkan ke mod kenderaan lain sekali gus menyediakan potensi penggunaan sisi baharu komersial,”ujarnya.

Saiz pasaran EV global bernilai AS$246.7 bilion (RM1.04 trilion) tahun lalu dan ia dijangka meningkat sehingga AS$1.32 trilion (RM5.6 trilion) menjelang 2028.

Sementara itu, saiz pasaran kenderaan elektrik berkelajuan rendah Asia Pasifik diramalkan mencecah 71.8 juta unit menjelang 2025.- Bernama/BH

Google ads
Back to top button