" "
Buletin

NANOMALAYSIA TERAJUI PEMBANGUNAN DAN PENGKORMERSIALAN SISTEM PENYIMPANAN TENAGA

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui NanoMalaysia Berhad (NMB) melancarkan Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga Nasional (NESTI).

Platform perintis peringkat kebangsaan itu merupakan usaha membangun dan mengkormersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik digunakan dalam sektor domestik serta industri.

Pertumbuhan mobiliti bandar yang pesat dijangka akan terus meningkat pada masa hadapan malah berpotensi menjejaskan ekonomi dari segi produktiviti dan meningkatkan pencemaran jika tiada kawalan.

Justeru, dalam menangani masalah tersebut, MOSTI telah mengenal pasti sistem penyimpanan tenaga bagi mobiliti elektrik, grid lebihan dan tenaga boleh diperbaharui yang menggunakan sumber karbon mampan.

Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr.  Adham Baba berkata kementeriannya sentiasa mencari penyelesaian berasaskan sains, teknologi dan inovasi untuk memudah serta menaik taraf kehidupan rakyat.

“NESTI memudahcara transformasi ke arah penggunaan mobiliti elektrik yang lebih meluas dalam kalangan Keluarga Malaysia selaras sasaran Neutral Karbon 2050.

“NanoMalaysia merupakan agensi pelaksana dan pemantau yang telah dilantik untuk Dana Penyelidikan Strategik (SRF) untuk program Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE).

“Dua projek di bawah NESTI akan dibangunkan dalam melengkapkan ekosistem teknologi tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan tenaga melalui penyertaan daripada industri, komuniti penyelidik dan pengguna akhir,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Pelancaran Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) dan Demonstarasi Kereta Lumba Elektrik Berkuasa Hidrogen (HyPER) di Aylezo Speedway, Glenmarie, Shah Alam, Selangor

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad.

Dalam pada itu, Dr. Rezal memberitahu pihaknya berazam melaksanakan program NESTI dalam usaha membawa Malaysia menyertai era teknologi storan tenaga pada masa akan datang.

Program pembangunan, penyelidikan, pengkormersialan dan inovasi (R&D&C&I) teknologi itu dijangka dapat menarik cadangan untuk mengatasi isu strategik nasional termasuk mengenai teknologi tenaga lestari, mengembangkan rantaian nilai dan penciptaan perkhidmatan atau produk baharu dalam ekosistem teknologi berkenaan.

Permohonan boleh dibuat melalui laman web http://edana.mosti.gov.my

Google ads
Back to top button