Motosikal

HONDA BAKAL GANTI CBR600RR DENGAN JENTERA SUPERSPORT V3 900CC

Ketika di EICMA 2025, Honda mempamerkan prototaip yang diberi nama V3R 900 E-Compressor yang mencetuskan pelbagai perbincangan. 

Ini kerana prototaip tersebut menampilkan gabungan enjin V3 (tiga silinder) dengan compressor kawalan elektronik yang merupakan pertama kalinya diperkenalkan pada motosikal. 

*VR3 900 E-Compressor

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, timbul laporan yang mendakwa Honda turut membangunkan enjin V3 versi NA (naturally aspirated) tanpa sistem supercharged berkenaan. 

Terbaru, Autoby melaporkan bahawa Honda akan menggunaan enjin V3 berkenaan bagi menghasilkan sebuah jentera supersport yang bakal menggantikan CBR600RR.

Untuk rekod, Honda bertanding dalam Kejuaraan Dunia Supersport (WorldSSP) dengan mempertaruhkan CBR600RR. Namun, sejak 2022, kejuaraan tersebut membenarkan penyertaan jentera 900cc ke bawah sekaligus menyaksikan Ducati Panigale V2, Yamaha YZF-R9 dan ZXMOTO 820RR berkongsi kemenangan dari semasa ke semasa. 

Senario itu menyebabkan CBR600RR tidak lagi mampu memberi saingan apatah lagi pakej yang ada sudah ketinggalan dan menyekat Honda bertanding secara kompetitif. 

*CBR600RR

Memandangkan keputusan perlumbaan di WorldSSP dan WorldSBK mampu memberi kesan terhadap jualan motosikal (terutamanya di Eropah), V3R 900RR mungkin jawapan Honda untuk menyelesaikan masalah tersebut. 

Menurut Autoby, Honda V3R 900RR itu akan membuat debut global pada 2027 namun Honda dijangka mendedahkan info lanjut mengenai jentera berkenaan di EICMA 2026, November ini. 

Google ads
Back to top button