Buletin

NISSAN SAKURA CECAH 100,000 UNIT JUALAN DI JEPUN, KUASAI HAMPIR 30 PERATUS PASARAN EV

Nissan Motor Co., Ltd. mengumumkan jualan kumulatif model kei EV, Nissan Sakura di pasaran domestik Jepun kini melepasi 100,000 unit sejak diperkenalkan pada Mei 2022.

Sehingga Jun 2026, sebanyak 101,018 unit Sakura berjaya dijual, sekali gus menjadikannya antara kenderaan elektrik (EV) paling popular di Jepun.

Dalam tempoh hampir empat tahun itu, Nissan Sakura turut menyumbang kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan jualan EV di Jepun.

Menurut Nissan, kejayaan Sakura didorong oleh gabungan saiz kompak sebuah kei car dengan kelebihan sistem pacuan elektrik yang menawarkan pemanduan senyap, lancar dan mudah dikendalikan.

Model itu digunakan secara meluas sama ada untuk kegunaan harian, perjalanan ke tempat kerja, urusan membeli-belah, mahupun sebagai kenderaan syarikat dan agensi kerajaan.

Dari segi dimensi, Sakura berukuran 3,395mm panjang, 1,475mm lebar dan 1,655mm tinggi dengan jarak roda 2,495mm.

Ruang kargo berkapasiti 107 liter serta mampu membawa empat penumpang.

Naik Taraf 2026 Dengan Fungsi Bekalan Kuasa

Pada April 2026, Nissan memperkenalkan versi yang menerima naik taraf kecil (minor facelift) dengan penampilan luaran yang lebih moden, kemas dan elegan.

Antara pembaharuan utama ialah penambahan dua soket kuasa 100V AC (1,500W) yang ditempatkan di ruang kargo dan papan pemuka.

Fungsi itu membolehkan Sakura membekalkan kuasa kepada pelbagai peralatan elektrik, sekali gus sesuai digunakan sebagai sumber bekalan elektrik bergerak ketika bencana atau bagi menyokong pelan kesinambungan perniagaan (Business Continuity Plan, BCP).

Motor Elektrik 47kW, Jarak Pemanduan 180km

Nissan Sakura menggunakan bateri litium-ion berkapasiti 20kWj yang dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 47kW dan menghasilkan tork maksimum 195Nm.

Model pacuan roda hadapan (2WD) itu mampu mencapai kelajuan maksimum 130km/j, manakala jarak pemanduan mengikut kitaran WLTC mencecah sehingga 180km bagi setiap cas penuh.

Pengecasan menggunakan pengecas AC biasa mengambil masa sekitar lapan jam untuk dicas penuh.

Pengecas pantas DC berkapasiti sekurang-kurangnya 30kW memerlukan kira-kira 40 minit bagi mengecas daripada amaran bateri rendah sehingga 80 peratus.

Harga Bermula Sekitar RM61,500

Di Jepun, Nissan Sakura ditawarkan dalam tiga varian iaitu S, X dan G.

Harga bermula daripada 2,448,600 yen (RM61,500) bagi varian S, 2,599,300 yen (RM65,300) untuk varian X, manakala varian G dijual pada harga 2,998,600 yen (RM75,300).

Kredit gambar: Nissan

Google ads
Back to top button