
LEPAS ANCAP, CX-5 SKOR CEMERLANG IIHS. HAMPIRI TRIPLE CROWN KESELAMATAN GLOBAL
Mazda CX-5 generasi baharu terus membuktikan terhadap aspek keselamatan apabila berjaya meraih pengiktirafan Top Safety Pick+ daripada Insurance Institute for Highway Safety (IIHS) di Amerika Syarikat. Pengiktirafan tertinggi itu diberikan selepas SUV berkenaan melepasi siri ujian pelanggaran terkini yang menggunakan protokol lebih ketat berbanding sebelum ini.
Lagi mengejutkan ialah kejayaan tersebut hadir hanya beberapa minggu selepas Mazda CX-5 menerima penarafan lima bintang daripada Australasian New Car Assessment Program (ANCAP). Ini bermakna model itu kini telah memperoleh pengiktirafan tertinggi daripada dua badan penilaian keselamatan paling berpengaruh di dunia
Buat masa ini CX-5 hanya menunggu keputusan rasmi daripada National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) Amerika Syarikat untuk melengkapkan apa yang boleh dianggap sebagai ‘Triple Crown’ keselamatan dunia.

Bagi penilaian terbaharu, IIHS menggunakan prosedur moderate overlap front crash test yang telah dikemaskini. Berbanding protokol terdahulu, ujian ini memberi penekanan lebih tinggi terhadap tahap perlindungan penumpang di tempat duduk belakang, sekali gus mencerminkan senario kemalangan sebenar dengan lebih tepat.
Mazda turut menjemput wakil media menyaksikan sendiri proses ujian pelanggaran tersebut. Langkah itu bertujuan menunjukkan bagaimana data dikumpulkan sepanjang ujian dijalankan sebelum dianalisis dan digunakan untuk menambah baik tahap keselamatan kenderaan pada masa hadapan.
Seperti yang dijangkakan dalam mana-mana ujian pelanggaran, bahagian hadapan Mazda CX-5 mengalami kerosakan yang ketara selepas impak. Namun, struktur kabin berjaya mengekalkan ruang hidup (survival space) untuk penumpang, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan serius.

Pada masa sama, sistem beg udara, tali pinggang keledar yang dilengkapi pretensioner serta struktur penyerap hentakan (crumple zone) berfungsi seperti yang direka untuk menyerap tenaga hentaman dan melindungi penghuni kenderaan.
Ramai pengguna mungkin menganggap penarafan lima bintang daripada NHTSA, IIHS Top Safety Pick+ dan ANCAP membawa maksud yang sama. Hakikatnya, ketiga-tiga badan ini menggunakan pendekatan penilaian yang berbeza.
NHTSA ialah agensi kerajaan Amerika Syarikat yang memberikan penarafan keselamatan antara satu hingga lima bintang berdasarkan ujian pelanggaran hadapan, sisi serta risiko kenderaan terbalik (rollover).

Manakala IIHSmerupakan organisasi bebas yang terkenal dengan protokol ujian lebih mencabar. Selain ujian pelanggaran hadapan dan sisi, IIHS turut menilai ujian small overlap, prestasi lampu hadapan, serta keberkesanan sistem brek kecemasan automatik (AEB) pada waktu siang dan malam.
Atas sebab itu, ramai pakar industri automotif menganggap memperoleh gelaran IIHS Top Safety Pick+ lebih sukar berbanding sekadar meraih penarafan lima bintang. Di Australia dan New Zealand pula, ANCAP menggunakan piawaian yang hampir selari dengan Euro NCAP.
Selain menguji perlindungan penumpang dewasa dan kanak-kanak, badan itu turut menilai tahap keselamatan pejalan kaki, penunggang basikal serta keberkesanan pelbagai sistem bantuan pemandu (ADAS). Kriteria penilaiannya juga dikemas kini secara berkala dan menjadi semakin ketat dari semasa ke semasa.

Kejayaan CX-5 ini turut mengukuhkan reputasi Mazda sebagai antara pengeluar yang paling memberi penekanan terhadap aspek keselamatan. Malah bagi tahun 2026, Mazda muncul sebagai jenama yang memperoleh jumlah anugerah IIHS Top Safety Pick+ paling banyak berbanding pengeluar lain, sekali gus membuktikan pendekatan kejuruteraan keselamatannya diterapkan merentasi pelbagai model.
Walaupun Mazda CX-5 telah berjaya memperoleh pengiktirafan tertinggi daripada IIHS dan lima bintang ANCAP, penarafan rasmi lima bintang daripada NHTSA masih belum diumumkan.
Sekiranya SUV ini turut memperoleh keputusan tertinggi daripada badan penilaian tersebut, Mazda CX-5 bukan sahaja akan melengkapkan apa yang boleh dianggap sebagai ‘Triple Crown’ keselamatan dunia, menjadikanya sebagai antara SUV paling selamat yang boleh dimiliki pengguna ketika ini.

