Pandu Uji

PEUGEOT 508 – BERMULA RM175,000

Pengedar kenderaan jenama Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) hari ini melancarkan sedan terbaharunya, 508.

SONY DSC

508 merupakan model penting buat Peugeot di pasaran Malaysia. Ini kerana ia menyumbang sebanyak 16 peratus kepada jualan keseluruhan kenderaan Peugeot pada tahun ini, kedua tertinggi selepas model 208.

Justeru, Nasim optimis model baharu ini akan memberi sumbangan yang signifikan terhadap sasaran jualan 6,000 unit pada tahun 2015.

SONY DSC

“Kami mensasarkan untuk menjual 80 hingga 90 unit 508 sebulan. Walaupun pasaran sedan ekskutif sangat kompetitif, kami tetap yakin dengan kemampuan dan keistimewaan 508.

“Malah, sehingga April 2015, perkongsian pasaran Peugeot dalam kalangan kenderaan Eropah adalah sebanyak 15 peratus,” kata Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George.

SONY DSC

508 kini ditawarkan dalam tiga varian iaitu THP, SW (Station Wagon) dan GT. Untuk model sebelum ini, Nasim pernah menawarkan sehingga lima varian.

Apa yang pasti, model terbaharu ini tampil dengan penambahbaikan yang lebih signifikan. Dapat dilihat pada bahagian hadapan yang kontemporari menerusi rekaan gril radiator yang menegak dengan logo singa diletakkan di bahagian tengah.

SONY DSC

Personaliti baharu 508 diserlahkan lagi dengan penggunaan teknologi LED sepenuhnya pada lampu utama, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus yang lengkap bersama ciri bantuan ketika membelok.

Rekaan bahagian belakang pula kelihatan lebih horizontal. Lampu belakang LED dengan rekaan ‘tiga garis’ menambah gaya sedan ini. Manakala rim aloi ringan bersaiz 18 inci melengkapkan lagi penampilannya.

SONY DSC

Bahagian dalam 508 turut menerima perubahan ketara. Papan pemukanya kini lebih kemas apabila kebanyakan butang kawalan diganti dengan skrin sentuh bersaiz tujuh inci.

Pemandu boleh mengawal aspek navigasi, telefon, konfigurasi kenderaan, multimedia, sistem bantuan pemanduan, serta ketersambungan Bluetooth dan banyak lagi. Keseronokan mendengar muzik dipertingkatkan dengan sistem bunyi Arkarmys 3D yang terdiri daripada sepuluh pembesar suara dan subwoofer JBL HIFI. Anda juga boleh memuat naik lagu kegemaran anda ke dalam sistem bunyi ini menerusi ciri Peugeot Jukebox.

SONY DSC

Varian 508 THP and SW THP dijana oleh unit enjin twin scroll turbo bertekanan tinggi (THP). Walaupun memiliki kapasiti paling kecil dalam kelasnya, enjin itu bagaimanapun mampu menghasilkan kuasa mencecah 165PS dan tork 240Nm. Bukan sekadar berkuasa, malah enjin itu mencatatkan penggunaan bahanapi sekitar 7.1 liter untuk setiap 100km.

Varian GT pula lebih menarik. Ia menggunakan khidmat enjin turbodiesel HDI bersesaran 2.2 liter. Berupaya menjana kuasa 206PS dan tork 450Nm, jentera ini boleh mencapai kealajuan maksimum 235km/j. Penjimatan bahan apinya adalah 5.7 liter untuk 100km.

SONY DSC

Kedua-dua enjin itu dipadankan dengan kotak gear adaptif enam kelajuan bersama fungsi Tiptronic dan mode Sport. Demi menawarkan pengendalian yang mantap, 508 dipasang dengan topang MacPherson dan bar anti oleng untuk roda hadapan. Roda belakang pula menggunakan suspenji jenis multi-arm dengan gegelung helical dan peredam multi injap.

Model SW THP dan GT dibezakan dengan beberapa ciri tambahan. Sebagai contoh, varian SWP THP menjadi satu-satunya model yang didatangkan dengan pintu belakang bermotor dan bumbung kaca panoramik bersama sistem penutup elektrik serta kawalan rotari.

SONY DSC

Sementara varian GT pula didatangkan dengan rim aloi ringan bersaiz 19 inci, kulit Nappa premium, selain fungsi memori dan urutan pada tempat duduk pemandunya.

Seperti biasa, 508 memang cemerlang dari aspek keselamatannya. Sedan ini dilengkapi enam beg udara dan Electronic Stability Program (ESP) yang terdiri daripada sistem brek anti kunci (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Emergency Brake Assist (EBA), Anti-Skid Regulation (ASR) dan Dynamic Stability Control (DSC).

SONY DSC

Harga anggaran 508 (di atas jalan termasuk insurans dan GST) adalah seperti berikut:
1. Peugeot 508 THP            : RM175,000
2. Peugeot 508 THPSW     : RM185,000
3. Peugeot 508 GT               : RM205,000

SONY DSC

508 boleh didapati dalam lima warna menarik iaitu putih, biru, coklat dan dua tona kelabu.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button