Modifikasi

TOYOTA COROLLA SEG ENJIN BLACKTOP

Dari saya mula main kereta pada tahun 1990-an dulu hinggalah anak dah dua, ada kereta yang terus diminati ramai. Salah satunya ialah Toyota Corolla.

Toyota-corolla-blacktop-mekanika (7)

Dari model KE70 sampai lah ke model AE111, model Corolla ialah kereta kegemaran ramai rakyat Malaysia yang mahukan kereta berkuasa tinggi dan masih boleh digunakan untuk bawa anak bini. Begitu lah senario kereta di Malaysia. Kadang-kadang kereta yang diubah suai itu jugalah dibawa dan balik kampung. Jadi saya tidak hairan jika ramai di antara kita yang mahukan kereta yang lasak tapi berkuasa tinggi. Jawapannya memang ada pada Corolla.

Toyota Corolla SEG keluaran tahun 1994 ini kalau anda tengok sekali imbas memang macam kereta standard. Tetapi dua kali pandang baru perasan ekzos di belakang itu macam serombong kapal. Sahih kereta ini sudah diubah suai.

Toyota-corolla-blacktop-mekanika (2)

Pemiliknya, Rais menggantikan enjin 2E 1,300cc asal Corolla ini dengan sesuatu yang jauh lebih berkuasa. Enjin lama yang pernah digunakan sejak zaman Corolla AE80 itu digantikan dengan enjin 4AGE Blacktop yang diambil daripada half-cut Corolla AE101 Wagon.

Enjin Blacktop memang terkenal dengan kelasakan dan tak begitu membebankan dari segi kos penjagaannya. Jadi Rais lebih gemar membiarkan enjin ini dalam keadaan yang hampir standard kilang dengan sedikit penambahan aksesori jenis bolt-on.

Toyota-corolla-blacktop-mekanika (5)

Ubah suai kekal yang dilakukan ke atas enjin ini hanyalah kerja-kerja port dan polish kepala silinder yang mempunyai 20 injap. Palam pencucuh digantikan dengan palam daripada Denso Iridium. Kabel palam pula dinaik taraf kepada kabel TRD Yazaki.

Sistem ekzos sememangnya wajib dinaik taraf. Kalau tidakk, kereta ini seolah-olah mempunyai jantung Usain Bolt tetapi dengan paru-paru orang sakit athma. Paip standard yang dipasang pada Corolla ini dicampak jauh-jauh dan diganti dengan paip ekzos buatan custom berdiameter 2 inci, diakhiri dengan peredam bunyi A’PEXi N1.

Toyota-corolla-blacktop-mekanika (9)

Sistem penyejukan enjin dibantu oleh cooling plate buatan custom. Semua hos air dan vakum diganti dengan hos silikon buatan Samco. Memandangkan enjin ini hampir standard dan ia dipandu setiap hari, sistem transmisi dan klac dibiarkan standard.

Kalau kereta enjin dah kuat, keselamatan jangan pula dilupakan. Keselamatan yang saya maksudkan bukannya pasal pakai tali keledar, tetapi dari segi pengendalian dan brek.

Toyota-corolla-blacktop-mekanika (11)

Nasib baik juga Malaysia ada undang-undang pasal naik taraf enjin.Kalau tidak, saya rasa banyak kereta masuk enjin beratus-ratus kuasa kuda, tapi pakai brek gelendong sahaja.

Rais bukan begitu, Corolla ini pun dah masuk sistem brek lengkap Corolla AE101 Wagon yang mempunyai diameter cakera lebih besar. Lebih penting lagi, menggantikan brek gelendong pada roda belakang dengan brek cakera.

Toyota-corolla-blacktop-mekanika (8)

Bab pengendalian pun tip-top sebab Rais sudah menggantikan semua penyerap hentak asal dengan set penyerap hentak boleh laras. Rim 13 inci asal diganti dengan rim gaya retro ATS bersaiz 15 inci dengan offset +28. Tayar pilihan pula berjenama Corsa bersaiz 195/55.

Tak seronok juga kalau enjin dah kuat, tapi rupa macam baru lepas keluar dari bendang. Jadi Rais memberikan sikit sentuhan JDM kepada Corolla spec Malaysia ini.  Bampar hadapan ditukar dengan bampar Corolla FX, iaitu model hatchback dua pintu Corolla AE101.

Toyota-corolla-blacktop-mekanika (10)

Skirting tepi pula datangnya daripada Corolla GT AE101. Di bahagian belakang, guna spoiler  Toyota Ceres. Yang ini kena modifikasi sikit, kena tebuk lubang baru boleh pasang.

Eh! Lupa nak bagitau, lips pada bampar depan itu ialah barang modifikasi daripada Toyota Chaser JZX100 yang nampak memang lawa apabila dipasang pada Corolla macam ni. Warna yang Rais pilih ialah oren metalik Perodua MyVi SE. Memang cantik!

Toyota-corolla-blacktop-mekanika (12)

Pada ruang kabin, Rais menggantikan papan pemuka asal Corolla dengan papan pemuka dan stereng Corolla Wagon. Tempat duduk depan diganti dengan tempat duduk Recaro jenis Fishnet. Sementara keempat-empat panel pintu diganti dengan panel pintu AE 101 BZ Touring.

Walaupun Corolla kini sudah masuk ke generasi ke 11, tapi model-model lama dia masih tetap popular dijadikan bahan modifikasi. Saya tunggu juga bila nak ambil gambar Altis guna enjin Celica. 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button