Buletin

PELAN RE:NISSAN: 11,000 DIPECAT, 7 KILANG DITUTUP

Di saat Nissan berdepan kerugian terbesar dalam hampir dua dekad, ketua pegawai eksekutif baharu, Ivan Espinosa, melancarkan pelan pemulihan yang tegas dan menyeluruh dinamakan Re:Nissan.

Re:Nissan, menurutnya merupakan satu langkah yang dilihat penting untuk menyelamatkan syarikat daripada terus tenggelam dalam persaingan global.

Bagi tahun fiskal 2024, Nissan mencatatkan kerugian bersih sebanyak 670.9 bilion yen (kira-kira RM198 bilion), walaupun mencatat pertumbuhan jualan tahunan sebanyak 2.8 peratus di pasaran Amerika Syarikat menerusi jenama Nissan dan Infiniti.

Namun, kerugian suku keempat menjadi petunjuk jelas bahawa penstrukturan semula secara drastik perlu dilakukan.

Re:Nissan menyasarkan pengurangan tenaga kerja sebanyak 11,000 orang dan penyusutan jumlah kilang global daripada 17 kepada hanya 10. Matlamatnya, penjimatan kos sehingga 500 bilion yen (sekitar RM147 bilion) menjelang 2027.

Menurut Espinosa, “Kami tidak akan melakukan semua ini jika ia tidak penting untuk kelangsungan Nissan.”

Espinosa, yang dilantik kurang dua bulan lalu, bukan muka baharu dalam syarikat. Beliau telah bersama Nissan sejak tahun 2003, bermula sebagai pakar produk sebelum naik pangkat sehingga menjadi Ketua Pegawai Perancangan, dan kini memegang jawatan tertinggi sebagai CEO.

Beliau juga pernah bekerja rapat dengan bekas CEO yang kontroversial, Carlos Ghosn, individu yang pernah menyelamatkan Nissan pada awal 2000-an dengan pelan pemulihan radikal.

Apa yang menarik, pendekatan Espinosa mempunyai banyak persamaan dengan strategi Ghosn dahulu, iaitu potongan besar-besaran, penutupan kilang dan tumpuan terhadap kecekapan operasi.

Namun, Espinosa cuba mengelakkan kesilapan lalu, seperti penekanan berlebihan terhadap volum jualan melalui diskaun besar-besaran dengan menumpukan usaha pada pembaharuan produk dan nilai sebenar.

Sebagai langkah keterlibatan dalaman, beliau turut mengaktifkan semula saluran komunikasi dalam syarikat, mengumpul lebih 2,300 cadangan daripada pekerja sendiri, dengan 800 daripadanya sedia untuk dilaksanakan.

Dalam aspek kerjasama, Espinosa tidak menolak peluang membentuk pakatan strategik, termasuk dengan firma teknologi dan syarikat dari China, tetapi menegaskan bahawa ia mesti berdasarkan nilai jangka panjang dan bukannya semata-mata keperluan kewangan.

“Kami hanya akan bekerjasama jika ia memberikan nilai sebenar. Bukan kerana kami perlukan tunai,” katanya.

Walaupun kelihatan kejam, pelan Re:Nissan mungkin satu-satunya jalan untuk menyelamatkan pengeluar ikonik ini.

“Adakah kami yakin ini mencukupi? Ya. Tapi kami perlu bergerak pantas,” ujar Espinosa. “Kami mahu menghidupkan semula Nissan.”

Google ads
Back to top button