
KAPAL KARGO BAWA 3,000 KENDERAAN TERBAKAR, 22 KRU KAPAL SELAMAT
Sebuah kapal kargo yang mengangkut kira-kira 3,000 buah kenderaan, termasuk 800 kenderaan elektrik (EV) terpaksa ditinggalkan oleh anak kapalnya selepas berlaku kebakaran ketika belayar berhampiran perairan Alaska.
Menurut kenyataan dari pengendali kapal tersebut, Zodiac Maritime, kesemua 22 kru kapal berjaya dipindahkan dengan selamat menggunakan bot penyelamat dan kini sedang dipindahkan ke sebuah kapal dagang yang berhampiran dengan bantuan Pengawal Pantai A.S.
Tambahnya lagi, usaha kini difokuskan kepada operasi menyelamatkan kapal tersebut.
Kapal yang dinamakan Morning Midas dan didaftarkan di bawah bendera Liberia itu dikesan berada kira-kira 300 batu (lebih 480 kilometer) ke barat daya Adak, Alaska.

Mengikut data perkapalan LSEG, Morning Midas berlepas dari pelabuhan Yantai, China pada 26 Mei dan sedang menuju ke Lazaro Cardenas, Mexico.
Tanda-tanda awal kebakaran bermula dari dek yang sarat dengan kenderaan elektrik, namun tidak dinyatakan jenis atau jenama kenderaan yang terlibat.
Kebakaran melibatkan EV amat mencabar untuk dikawal berikutan haba tinggi yang terhasil serta kebarangkalian untuk api menyala semula walaupun selepas dipadamkan, kadangkala berlarutan selama beberapa hari.
Pengawal Pantai A.S. telah menghantar pasukan udara dan sebuah kapal pemotong untuk membantu di lokasi, di mana tiga kapal lain sudah berada di kawasan kejadian.
Insiden sebegini bukanlah yang pertama. Pada 2022, sebuah kapal kargo yang membawa 4,000 kenderaan mewah termasuk Porsche dan Bentley tenggelam di perairan Azores, Portugal hampir dua minggu selepas terbakar.
Kebakaran di atas kapal, terutamanya kapal pengangkut kenderaan, kontena dan roll-on/roll-off menjadi antara kebimbangan utama bagi pihak insurans maritim.
Salah satu syarikat yang menginsuranskan Morning Midas, Steamship Mutual, bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan komen daripada Reuters.
Menurut laporan keselamatan dan perkapalan Allianz Commercial 2025, jumlah insiden seperti ini mencatatkan peningkatan tertinggi dalam tempoh sedekad pada tahun 2024.
Allianz turut menegaskan bahawa risiko kekal tinggi disebabkan saiz kapal yang besar dan kesukaran dalam operasi pemadaman serta penyelamatan.
- BACA: PELAN RE:NISSAN: 11,000 DIPECAT, 7 KILANG DITUTUP
- BACA: YAMAHA NVX 155 V3 MASUK MALAYSIA TAHUN INI?
- BACA: GWM HAVAL H6 HEV CATAT ASEAN RECORDS DENGAN 1,242KM DALAM SATU TANGKI PENUH
- BACA: OMODA 9 SHS KINI MULA DIJUAL DI UK. DEFINASI SEBENAR UNTUK SEBUAH SUV PLUG-IN PREMIUM TANPA HARGA YANG PREMIUM

