
PELUMBA MUDA KUASAI TREK DI VIOS CHALLENGE MUSIM KE-6
Pada hujung minggu lalu, sejumlah pemandu bersaing merebut gelaran Vios Challenge Musim ke-6, yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
Kalendar perlumbaan untuk 2023 merangkumi kesinambungan GR Vios Sprint Cup (dua pusingan, dengan empat perlumbaan) dan GR Vios Enduro Cup di Sepang 1000km (S1K).
Dalam GR Vios Sprint Cup, perlumbaan dibahagikan kepada empat kelas, iaitu Promotional Class untuk selebriti tempatan, Super Sporting Class (pemandu elit, profesional), Sporting Class pula khusus pemandu amatur dan Rookie Class untuk pemandu muda.

Pemandu bersaing untuk mendapatkan hadiah bernilai RM70,000 dan RM50,000 yang menjadi rebutan juara keseluruhan kategori Super Sporting dan Sporting Class.
Melihat keputusan di trek, Mitchell Cheah dari Prima Pearl TD Racing memanfaatkan sepenuhnya format reverse grid dalam perlumbaan yang membolehkannya mendahului perlumbaan 20 pusingan dalam Super Sporting Class.
Cheah menamatkan perlumbaan 0.4 saat di hadapan Putera Adam dari Laser Motor Racing manakala tempat ketiga diisi oleh Hayden Haikal.

Walau bagaimanapun, keputusan akhir perlumbaan menyaksikan Putera serta Cheah dikenakan penalti hingga menyebabkan masing-masing jatuh ke tempat kelima dan keenam.
Dalam Rookie Class, Ariff Azmi merangkul kemenangan setelah mendahului Nazmir Azlan dan Iman Danish di kedudukan ketiga.
Sementara di Sporting Class, Bradley mendahului Nabil dan Abdul Miqail yang terpaksa berpuas hati mengisi tempat kedua serta ketiga.
Promotional Class pula masih dikuasai oleh pelawak Zizan Razak dan Shukri Yahaya sementara pendatang baru GR Vios Challenge, Ezzrin Loy berjaya meraih podium dengan menduduki tempat ketiga.
Menurut syarikat, siri perlumbaan itu berjaya menarik lebih 3.5 juta penonton, sejak diperkenalkan lima musim lalu.
“Sukan permotoran bukan sahaja memberi impak yang mendalam kepada jenama tetapi juga memberikan sumbangan kepada pembangunan pemandu muda,” kata Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ravindran K.
“Pada permulaan perlumbaan musim ke-6 ini, anda sudah boleh melihat kumpulan pemandu muda yang sangat berpotensi dalam Super Sporting Class dan Sporting Class. Ini adalah perkembangan sangat positif untuk sukan ini.”
- BACA: TOYOTA SAHUT CABARAN SEPANG 1000KM. REBUT HADIAH BERJUMLAH RM30,000
- BACA: TOYOTA GAZOO RACING PERKENAL VIOS SPRINT CUP DAN VIOS ENDURO CUP
- BACA: TENGKU DJAN,CLEMENT YEO,SHUKRI YAHYA DAN NAQUIB AZLAN RANGKUL JUARA KESELURUHAN VIOS CHALLENGE MUSIM KE-4
- BACA: SAKSIKAN PERLUMBAAN VIOS CHALLENGE DAN HIBURAN FESTIVAL TOYOTA GAZOO RACING ATAS TALIAN



