
HONDA CITY FACELIFT 2023 LANCAR BULAN DEPAN DI INDIA – PILIHAN ENJIN PETROL DAN HIBRID
Honda mendedahkan sebelum ini bahawa Honda City facelift akan memasuki bilik pameran mulai 2 Mac di pasaran India. Namun beberapa minggu sebelum pelancarannya, imej sedan berkenaan muncul di internet.
Seperti kebanyakan kemas kini Honda, perubahan pada City facelift adalah minimum. Bahagian hadapan mendapat bampar yang telah direka semula manakala bahagian gril menerima bar krom yang lebih nipis.
Honda bagaimanapun mengekalkan lampu depan bergaya tajam dengan sembilan tatasusunan LED seperti sebelum ini.

Reka bentuk jeriji juga diubah sedikit dengan menampilkan honeycomb pada varian yang lebih tinggi dan jenis menegak untuk varian lebih rendah.
Reka bentuk rim aloi pula kelihatan serupa dengan model City semasa. Di bahagian belakang, City facelift mendapat bampar rekaan baharu selain kedudukan reflektor diubah.
Pada bahagian dalam, City facelift kelihatan sangat mirip dengan model semasa walaupun model tersebut akan ditambah lebih banyak ciri.

Antara ciri yang mungkin disertakan ialah pengecas tanpa wayar, tempat duduk ventilasi, sistem infotainmen baharu, ketersambungan Apple Carplay dan Android Auto.
Honda juga akan memperkenalkan warna biru baharu untuk Honda City facelift ini.
Jentera itu akan dijana oleh pilihan enjin petrol dan rangkaian kuasa hibrid untuk memenuhi piawaian RDE dan E20 (20 peratus campuran etanol).

Maka, City facelift mungkin didatangkan dengan enjin petrol 1.5 liter NA berkuasa 121p yang dipadankan dengan sama ada kotak gear manual 6-kelajuan atau automatik CVT.
Enjin petrol 1.5 liter dengan sistem hibrid pula mampu menghasilkan kuasa 126p dan menggunakan transmisi e-CVT.
City facelift dijangka ditawarkan pada harga lebih mahal berbanding model semasa. Sebagai rujukan, City berkuasa petrol dijual pada harga di antara AS$14,341 (RM63,458) hingga AS$18,872 (RM83,508).









