TOYOTA GAZOO RACING PERKENAL VIOS SPRINT CUP DAN VIOS ENDURO CUP
Gazoo Racing dan UMW Toyota Motor memperkenalkan cabaran baharu Vios Sprint Cup dan Vios Enduro Cup dalam menawarkan lima lagi perlumbaan sekali gus menjadikan 11 perlumbaan untuk Toyota pada tahun ini.
Vios Sprint Cup merupakan perlumbaan secara bebas daripada Vios Challenge.
Ia akan menampilkan dua pusingan dalam Malaysia Championship Series (MCS) yang menawarkan dua perlumbaan bagi setiap pusingan.
Pusingan pertama bakal mengegar Litar Antarabangsa Sepang pada 20 hingga 22 Mei depan manakala pusingan kedua akan diadakan pada bulan Julai.
Dalam cabaran itu selama satu jam itu, sebanyak 26 jentera akan beraksi dengan setiap jentera dikemudi dua pelumba yang menggandingkan kombinasi profesional, amateur, selebriti dan rookie.
Perlumbaan 1 Vios Sprint Cup pada hari Sabtu akan menyaksikan kedua-dua pelumba memandu dalam sesi kelayakan bersaingan.
Pelumba terpantas perlu mengharungi perlumbaan selama satu jam itu sebelum membuat hentian pit mandatori untuk penukaran pemandu.
Perlumbaan 2 pula memerlukan pelumba kedua terpantas memulakan perlumbaan satu jam sebelum membuat hentian pit mandatori dan menukar pemandu, serta susunan grid terbalik berdasarkan keputusan Perlumbaan 1.
Juara keseluruhan untuk setiap perlumbaan Vios Sprint Cup ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala tempat kedua RM8,000.
Pemenang tempat ketiga akan meraih RM6,000 dan RM4,000 untuk tempat keempat serta RM2,000 untuk tempat kelima.
Secara keseluruhan, Vios Sprint Cup menawarkan hadiah wang tunai RM60,000 untuk setiap pusingan.
Perlumbaan Vios Enduro Cup pula bakal berlangsung sekali dengan perlumbaan endurance Sepang 1000KM Endurance Race (S1K) yang akan berlangsung pada November ini.
Ia bakal menyaksikan pelumba Toyota menyertai perlumbaan 1,000 km yang dijangka mengambil masa kira-kira sembilan jam untuk melengkapkan 181 pusingan lengkap Litar Antarabangsa Sepang.
Dalam pada itu, Presiden UMW Toyota Motor Ravindran K berkata tujuan memperkenalkan perlumbaan tersebut adalah untuk mengembangkan lagi aktiviti perlumbaan di dalam Vios Challenge yang akan menawarkan lebih banyak perlumbaan serta hadiah kepada pelumba, pasukan, dan juga pengedar yang mengambil bahagian.
“Dalam masa sama, ia juga turut menekankan komitmen UMW Toyota Motor dalam menyumbang kepada ekosistem sukan permotoran yang lebih meriah di Malaysia.
Untuk keterangan lanjut mengenai Vios Sprint Cup dan Vios Enduro Cup boleh menghubungi wakil Pengurusan Perlumbaan, Ms Janet (Wing Hin Motorsports) di talian 016-367 3300.